Thursday 27 February 2014

PANDUAN MELAKUKAN KERJA AMAL BERSAMA KELUARGA

Teks : Adillah Ismail

Mendidik hati menjadi insan yang lebih baik adakalanya memerlukan satu perjalanan yang sangat panjang dalam hidup. Kehidupan yang kita lalui sebenarnya bukan untuk diri kita sahaja. Bukan hanya kita sahaja mahu agar kebaikan itu hadir ke dalam hidup. Namun kita mengharapkan agar seluruh ahli keluarga di anugerahkan oleh Allah sama rata. Kerana bahagia, rasa tenang dan cukup itu tidak bermakna untuk dinikmati seorang diri.

Erti hidup pada memberi -  itu adalah kata-kata manis dan mendalam pengertiannya yang saya pinjam dari ustaz Hasrizal Abd Jamil. Benar kata beliau, jika mahu banyak menerima, berilah sebanyak mana, tanpa berkira.

Baru-baru ini terbaca post rakan Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR), Yati Shahadan di facebook. Mulia sungguh hati beliau yang mahu memikirkan bagaimana untuk buat kerja amal bersama keluarganya tetapi tidak terfikir bagaimana. Post beliau, menjentik rasa saya untuk berkongsi sedikit pengalaman yang saya lalui. Saya berharap, berkongsian ini boleh menjadi asas panduan kepada teman-teman untuk melakukan kerja amal bersama keluarga.

Ada antara kita gemar berorganisasi, maka kita akan turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan oleh organisasi yang kita sertai. Namun, adakalanya kita terlupa bahawa, ada baiknya suami dan anak-anak juga kita bawa bersama. Ada juga yang mungkin tidak tahu bahawa kerja amal sebegini boleh kita lakukan bersama ahli keluarga kita. Melakukan kerja amal tidak semestinya wajib di bawah mana-mana persatuan. Anda boleh lakukan sendiri. Kreativiti dari diri anda. Banyak sebenarnya yang boleh anda lakukan. 

Panduan yang saya kongsikan di sini, mungkin boleh mengembangkan lagi idea teman-teman untuk melakukan tugas kebajikan ini.

1. Mulakan ziarah keluarga anda di institusi kebajikan yang diusahakan oleh badan persendirian, persatuan, yayasan atau milik individu. Hubungi dahulu mereka sebelum datang. Mungkin ada waktu tertentu yang mereka tetapkan. Bagi lawatan ke pusat penempatan orang tua, adakalanya ia waktu rehat, jadi mungkin tidak berkesempatan bertemu penghuni. Mungkin juga kadangkala jika mereka tidak cukup sukarelawan/staf untuk bertugas, maka dibimbangi ziarah anda nanti menyebabkan suasana agak kelam kabut. Sebaiknya hubungi dahulu. Beritahu tujuan.

2. Bawa bersama anda beberapa kampit beras sebagai pembuka bicara. Boleh bawa untuk bayar fidyah atau sedekah. Tidak perlu bawa terlalu banyak untuk 'sapaan' pertama ini. Cukup apa yang anda mampu. Contohnya 3 kampit. Saya cadangkan beras kerana keperluan ini sangat penting memandangkan bagi pusat yang penghuninya ramai, kadangkala memerlukan belanja untuk beras dan makanan lain agak tinggi.

3. Bawa duit kecil atau gula-gula. Elakkan makanan ringan seperti keropok. Gula-gula sudah memadai. Letak sahaja di dalam poket. Beri apabila berjumpa dengan penghuninya. Namun jika mahu ia dibungkus cantik-cantik, tiada salahnya. Cuma jika ia tidak mencukupi, bimbang ada penghuni yang merajuk :). Biasanya penghuni di pusat kebajikan agak sensitif. Oleh itu, dapatkan jumlah mereka (jika perlu). Cuma cadangan saya, jadikan ia ziarah yang santai. Agar kita rasa mudah dan tidak perlu mengambil masa dan tenaga untuk aktiviti pembungkusan yang mungkin akan menyebabkan jumlah sampah bertambah di pusat.

4. Ada sesetengah penghuni pusat menjual barang-barang seperti hasil kreativiti dan tanam tanaman. Beli hasil jualan mereka untuk membantu menceriakan mereka. Ada hasil jualan untuk duit poket penghuni sendiri dan ada juga untuk menambah tabung pusat kebajikan.Ia satu kegembiraan buat mereka. Hasilnya dituai!

4. Dalam ziarah teman-teman nanti, ajak ahli keluarga duduk-duduk sebentar bersama penghuni. Ajak anak-anak bersalam dan berbual-bual bersama. Kenalkan diri kita dan keluarga. Ada rezeki lebih, bawa kuih muih. Sambil berbual, sambil makan-makan.

5. Jika ada rezeki (selepas gaji, contohnya), tempah seperiuk nasi beriyani (atau menu lain) dan jamu penghuni untuk makan tengahari. Jika anda berada sekitar Bangi dan Kajang serta kawasan berdekatan, boleh tempah Nasi Maqlubah Palestin milik Shahrina Ahmad Sharkawi (click fb Shahrina untuk mengetahui perjuangan beliau) kakak sahabat saya. Jangan lupa, telefon dan maklumkan kepada pengurusan. Oleh itu, tukang masak pusat, boleh berehat seketika kerana juadah telah disediakan oleh anda. Saya cadangkan nasi beriyani (juga nasi maqlubah) kerana ia makanan istimewa bagi mereka. Mungkin jarang-jarang (atau tidak pernah) merasainya. Konsep ini boleh juga dilakukan di pusat tahfiz dan madrasah.

6. Perkara di atas bertujuan untuk membina rapport (hubungan baik) dengan pihak pengurusan atau tuan rumah. Apabila mereka sudah mengenali keluarga anda, keadaan akan jadi lebih mudah. Dari ziarah-ziarah awal seperti itu, secara perlahan-lahan kita akan faham dan boleh tahu serba sedikit di mana kita boleh bantu seterusnya.

7. Jika kita merasakan ziarah sudah konsisten (jika keluarga anda memilih sebuah pusat sahaja untuk diziarah), buatlah majlis sambutan hari jadi yang ringkas, untuk penghuni yang lahir pada bulan tersebut. Boleh juga sambut untuk 3 bulan sekali. Tiada salahnya. Ringkas sahaja persiapan. Bawa kek atau pulut kuning dan makanan sampingan untuk minum pagi atau minum petang. Jika mahu anak-anak 'contribute', agihkan tugas dekorasi di pusat itu untuk anak-anak. Pasti anak-anak merasa bahagia diberikan tanggungjawab tersebut. Namun, suka saya ingatkan, kita bawa pulang semua sampah-sampah itu sebaiknya. Bantu kemas semula. Kerana pusat begini amat kurang pekerja dan sukarelawan.

8. Melakukan kerja amal bersama keluarga lebih fleksibel sifatnya. Fleksibel masa, kenderaan dan aktiviti. Jika anda mahu, boleh jemput anak-anak saudara, keluarga yang lain untuk turut serta.

9. Dari ziarah ini, mungkin anda boleh mengetahui samada pusat tersebut memerlukan tenaga mengajar sukarela untuk mengaji, fardhu ain, kelas membaca, dan sebagainya. Dari situ networking akan terbina.

10. Cadangan aktivitidi bawah adalah secara umum. Teman-teman lihat kesesuaian kategori penghuni - orang tua/anak yatim/OKU dsbnya:

CADANGAN AKTIVITI
Berbual-bual
Sambutan hari jadi
Mengemas pusat
Menggunting rambut penghuni (jika pandai)
Memotong kuku penghuni
Mencuci bilik air dan longkang
Menyanyi
Bercerita
Membantu penghuni memakai tudung dengan kemas dan sempurna
Dan...kreativiti masing-masing - pengalaman akan mengayakan anda dengan idea

JANGAN LUPA UNTUK SENTIASA TERSENYUM


Jika boleh, elakkan perkara di bawah :

a) Datang pertama kali - untuk menghantar pakaian terpakai. Kurang manis. Setelah ziarah pertama diadakan, tanya pengurusan pusat, adakah mereka perlukan pakaian terpakai. Kerana adakalanya, mereka terlalu banyak menerima pakaian terpakai dan mungkin sebahagian besarnya hampir tidak boleh digunakan lagi. Cuba kurangkan menghantar pakaian terpakai kecuali di minta.

b) Elakkan terlalu excited pada peringkat awal dan kemudian tak mampu buat secara istiqamah. Mulakan secara sederhana. Seperti cadangan diatas, hantar beras dan ziarah penghuni.

c) Kurangkan soalan sensitif seperti - berapa lama menghuni, kejadian yang menyebabkan berada di situ, di mana ahli keluarga yang lain - jika mahu tanya juga, tanyalah secara perlahan-lahan dengan ayat yang terbaik.

d) Elakkan kunjungan yang terlalu 'rasmi' . Datanglah sebagai  ahli keluarga penghuni walaupun hakikatnya kita saling tidak mengenali dan mereka bukan darah daging kita.

Semoga panduan di atas boleh membantu teman-teman melakukan ziarah dan kerja amal anda bersama keluarga tersayang. Selamat beramal.

Saya sertakan bersama contoh-contoh pusat kebajikan yang boleh di lawati (sekadar yang saya tahu)

1. Rumah Persatuan Kebajikan Nur Ehsan,
Kempas, Johor (Puan Nuris - 016 7881379)

2. PSIAKU AZWAR

3. Rumah Sentuhan Budi
No. 76-A, Jalan 5/12 D,
Kg. Sri Batu, batu 4 1/2,
Jalan Ipoh
51110 Kuala Lumpur
016-3079287 (Pn. Nora Aziz)
4. Pertubuhan Nurkasih Malaysia
No.16-B, Jalan Camar 1,
Taman Perling 81200
Johor Bahru, JOHOR
Telefon/Fax : 07-2321352

5. Rumah Kanak-kanak Darul Aitam
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN
KOMPLEKS ISLAM DARULNAIM
15200 KOTA BHARU
KELANTAN
No. Telefon   :  09-7481512
No Faks        :  09-7485512

6. Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi
Kampung Teluk Ketapang,Seberang Takir,21300 Kuala Terengganu
Nombor telefon:09-6663231

7. PERTUBUHAN KEBAJIKAN YAYASAN ANAK YATIM PIATU DARUL AITAM
Kg. Haji Salleh, 35350 Temoh, Perak
Tel : 05 - 4199089
Fax: 05 - 4199089
(milik Allahyarham Ustaz Bushra - kini diusahakan oleh anak-anaknya)

*untuk kawasan Kuching, setakat ini belum ada yang persendirian. Semuanya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jika mahu beraktiviti, boleh tulis surat permohonan kepada Pengarah JKM Sarawak atau menghubungi institusi berkenaan.


Jika kamu berbuat baik, bererti kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri (Al Israa':7)
Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat

Sunday 23 February 2014

'Dia' Sudah Berbunga-Pokok Berbunga Setahun Hanya Sekali

Teks : Adillah Ismail

Kata orang pokok ini berbunga hanya setahun sekali. Saya tidak pernah menjumpainya sebelum ini sehingga terpandang di dalam fb seorang rakan. Macam bunga api, kata saya. Tertanya-tanya juga bagaimana nak dapatkannya. Saya bukan terlalu minat kepada pokok bunga tetapi sekadar suka-suka.

Sehinggalah pada suatu hari, saya pulang ke kampung sebelah ayah. Saya lihat bapa saudara saya ada menanam pokok ini, kebetulan sedang berbunga. Tangan emas Ucu memang menjadi walau apapun yang ditanam. Beliau bekalkan anak pokok untuk saya bawa pulang. Ucu juga beritahu, ia hanya berbunga sekali setahun. Daunnya akan mati dahulu, kemudian barulah bunga akan keluar. Daun tidak banyak tetapi lebar.

Saya mengintai-ngintai bilalah agaknya pokok saya ini akan berbunga. Cemas juga kadangkala kerana daunnya yang tak banyak itu mula layu bila hari agak panas. Benar, setelah hampir setahun, anak pokok ini ditanam di rumah saya, barulah ia berbunga :).

Alhamdulillah. Uniknya ciptaan Allah. Walau ia sekadar hiasan di rumah, namun ia memberikan tanda kepada saya bahawa setahun itu tidaklah terlalu lama. Menunggu, boleh. Tetapi jangan tertunggu-tunggu. Setiap hajat akan kita dapat apabila masanya telah tiba. Allah telah tentukan kadar dan masanya begitu. Namun jangan berhenti berfikir dan berusaha. Begitulah dengan pokok ini. Ia tidak berhenti bernafas dan berjuang untuk hidup walaupun anak pokoknya saya bawa dalam perjalanan yang jauh. Kereta - keretapi - kapal terbang.

Namun sehingga kini saya masih belum menemui 'nama sebenar' atau scientific name pokok ini.

Begitulah cerita pokok bunga api saya :).

Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat





Saturday 22 February 2014

KELAS PENGAJIAN AGAMA UNTUK SAUDARA KITA DI BAITUL IHTIMAM, KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

Teks : Adillah Ismail

Sahabat saya dan suami, Ustaz Wan Ariffin telah mewakafkan rumah beliau bagi digunakan untuk kegunaan sebagai tempat perlindungan sementara saudara kita yang memerlukan rumah untuk berlindung serta menjadi pusat pengajian agama untuk saudara kita (muallaf) yang baru atau sudah lama memeluk Islam

Kesediaan beliau mewakafkan rumah ini amat kami kagumi. Sebetulnya, kami dan beliau tidak saling mengenali. Namun atas dasar dakwah untuk saudara kita, Allah pertemukan kami. 

Alhamdulillah, setelah hampir setahun niat rumah berkenaan untuk dijadikan pusat bagi meningkatkan kefahaman saudara kita mengenai Islam kini kelas pengajian agama dan kelas membaca Al Quran berjalan dengan konsisten pada setiap hari Sabtu selepas solat Maghrib sehingga jam 9.30 malam.

Bagi saudara kita di sekitar Kota Samarahan juga kawasan yang berdekatan, di jemput hadir ke kuliah agama serta belajar teknik membaca Al Quran menggunakan teknik Al Barqy ini.

Saya dan suami akan membimbing bagi teknik belajar asas Al Quran menggunakan teknik Al Barqy. Manakala Ustaz Amir Ridhwan (seorang ustaz berbangsa Iban yang juga merupakan saudara kita) akan memberikan kuliah berdasarkan Buku Panduan Hidup Bersyariat.

Entri ini saya tulis bagi memudahkan pencarian bagi mana-mana individu saudara kita yang mungkin satu hari nanti, di sekitar Kota Samarahan mencari tempat untuk belajar agama.

Saya dan suami bukan ahli dalam bidang Al Quran, bukan juga hafiz atau hafizah. Bukan ustaz mahupun ustazah dalam bidang pengajian agama. Kami hanya membantu Ustaz Wan. Namun amat berharap, kami juga mereka, akan menjadikan Al Quran ini penyuluh sepanjang jalan kehidupan di muka bumi ini. Berharap juga peluang kami untuk menimba ilmu bertambah dengan lebih luas selepas ini. Saya yakin ini salah satu jalan yang telah Allah tentukan untuk kami menyumbang untuk agama. Agaknya ini faktor kami di tempatkan Allah berada di negeri yang bukan tanah kelahiran kami.
                                                                          Baitul Ihtimam

Hanya kami pohon dari Allah pengakhiran yang baik untuk kami apabila telah tiba saatnya. 
In Sha Allah.

Terima kasih kepada sahabat kami Ustaz Wan Ariffin yang telah Allah dorong hatinya untuk mewakafkan rumah sendiri bagi tujuan mulia ini. Hanya Allah yang mampu membalas pengorbanan wang ringgit yang telah beliau salurkan untuk tujuan ini.

Pertanyaan lanjut berkenaan Baitul Ihtimam boleh hubungi saya di talian 013 8302712.

Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat


Friday 21 February 2014

Doa Dalam Jawi Beserta Maksudnya

Untuk entri kali ini saya akan kongsikan beberapa doa terpilih yang dipohon oleh rakan saya dari saudara kita (muallaf) yang belajar di Baitul Ihtimam untuk saya sediakan di dalam bacaan rumi beserta maksudnya.

Ada yang saya perolehi dari blog-blog dan saya atur mengikut keperluan sahabat saya. Ada juga yang saya  atur sendiri.

Baitul Ihtimam ini merupakan sebuah rumah yang diwakafkan oleh sahabat kami Ustaz Wan Ariffin untuk tempat perlindungan saudara kita yang memerlukan perlindungan. Selain itu di sini juga di adakan kelas pengajian agama untuk saudara-saudara kita di sekitar kawasan Kota samarahan Sarawak. Kelas diadakan pada setiap hari Sabtu selepas solat Maghrib. Sehingga kini terdapat hampir 10 orang saudara kita yang mengikuti kelas di sini yang telah bermula selama 4 miggu. Mereka berketurunan Iban dan Bidayuh.

 Saya kongsikan doa yang mereka pohon saya tuliskan untuk di baca oleh mereka.

Semoga sama-sama beroleh manfaat




Doa Penerang Hati




Rumi : Robbisyrohlii Sodrii (25) Wayassirlii Amrii (26)
Wahlul U’kdatammillisaanii (27) Yafkohuu Kaulii (28)
Maksudnya :

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku"

(Surah Taha : 25,26,27,28)

 

Doa Sebelum Tidur


أَحْيَاوَأَمُوتُ اللّهُمَّ بِاسْمِكَ

Bismikalla humma ahya wa amut

Maksudnya : 
Dengan nama mu Ya Allah
aku hidup dan aku mati.

Sebelum itu bacakan surah tiga Qul iaitu Surah Al-Ikhlas, Surah Annas dan surah Al-Falaq
beserta ayat kursi.. InsyaAllah dipelihara Allah semasa tidur.


Doa Bangun Dari Tidur


Rumi : Alhamdulillahillazi Ahyaanaa Ba’damaa a maa ta naa
wa ilaihinnushur
Maksud : Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami akan kembali.
 

Doa Masuk Tandas

 
Rumi : Bismillah Allahumma Inni A’ uzubika minal hubsi walhabaa is

Maksudnya:"Dengan nama Allah, Ya Allah aku berlindung denganMu
daripada syaitan jantan dan syaitan betina".

 

Doa Keluar Tandas 

 
Rumi: Alhamdulillahillazii Azaa Qo nii-lazzatahu wab qoo fi- quwwatihi –warafa-a’ a’nni a zaa hu
 

Maksudnya :
"Bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakanku kenikmatan dan mengekalkan dalam diriku kekuatan dan menjauhkan segala penyakit daripada aku."
 



DOA MAKAN

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Rumi: Allahumma ba rik lana fiimaa-rozaktanaa-waqina-a’zaa-bannar

Maksudnya : Ya Allah berkatilah kami pada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka


DOA SELEPAS MAKAN



Rumi:Alhamdulillahilladzii ath’amanaa wa saqaanaa wa ja’alanaa minal muslimiin

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan dan minum kepada kami dan menjadikan kami tergolong dalam orang-orang Islam.

Ingatan bersama:
1. Makan dan minum itu sendiri hendaklah dengan tangan kanan. Kerana syitan makan dengan menggunakan tangan kiri.  2. Jangan bernafas waktu minum dan jangan meniup makanan/minuman yang panas.




Doa Supaya Dicukupkan Keperluan




Rumi: Hasbiyallahu-laaa ilaaha-illa huwa
A’laihi-tawakkaltu – wahuwa – rabbul- ‘arshil – a’ziim


Maksudnya: ”Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”


1. "Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani"
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Bismi Llâhir-rahmâni r-rahîm
2. "Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam"
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِين
Al-hamdu liLlâhi rabbi l-`âlamîin
3. "Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani"
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Ar-rahmâni r-rahîim
4. "Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)"
مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين
Mâliki yawmi d-diîn
5. "Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan"
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Iyyâka na`budu wa'iyyâka nasta`îin
6. "Tunjukilah kami jalan yang lurus"
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَ ٰط ٱلْمُسْتَقِيمَ
Ihdina s-sirâatol-mustaqîim
7. "Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat"
صِرَ ٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ
Siroto llazîna an`amta `alayhim ghayri l-maghdhûbi `alayhim wala dh-dhâaallîn

Sumber : 

http://himpunandoa.blogspot.com/2012/07/doa-di-murahkan-rezeki.html
http://wnurazzuandy.blogspot.com/2011/02/surah-al-fatihah-dalam-jawirumi.html

  Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat



Copyright

Copyright