Wednesday 8 January 2014

KUCING MENGEKORINYA SEHINGGA KE...

Teks : Adillah Ismail

Pada satu  hari dalam perjalanan kami ke rumah keluarga angkat, kami bertembung dengan seorang lelaki tua yang sedang berjalan-jalan sambil membawa dua ekor kucing di tangan, sementara  beberapa ekor mengikutinya dari belakang sambil 'mengambil angin'. Oleh kerana jalan raya lurus, kelibat beliau kami dapat perhati dari jauh dari dalam kereta. Ketika berselisih, beliau sedang turun ke longkang sambil membawa seekor kucing. Sementara si comel yang lain, menunggu. Saya kira ada kucing yang terjatuh dan beliau sedang mengangkat kucing tersebut.

Tiba di rumah keluarga angkat, saya bertanyakan hal tersebut kepada Nek Wa dan pembantu beliau. Rupanya orang tua berkenaan adalah jiran belakang rumah mereka. Menurut kak Tina, rumahnya memang terlalu banyak kucing kerana beliau suka mengutip kucing-kucing jalanan. Di bawa pulang, di beri makan dan dipelihara.

Adakalanya, pada waktu pagi atau petang, beliau akan berjalan-jalan membawa ikan rebus untuk di berikan kepada kucing-kucing yang di jumpai di tepi jalan. Mulianya hati lelaki tua ini. Memberi bakti kepada kucing yang tidak pandai membalas jasa. Tetapi saya sangat yakin, lelaki yang mulia hati ini memberi tanpa mengharapkan balasan. Apalah ada pada seekor kucing,kan? Mungkin bagi kita, jika mahu berbakti, berbudi, haruslah kepada mereka-mereka yang boleh membalas atau menganugerahkan kita sesuatu. Jika tidak, mungkin kita berfikir beberapa kali untuk memberi dan berbudi kepada makhluk atau insan yang mungkin tidak mengenali kita.

Nek Wa menyambung cerita. Ketika mereka mengerjakan umrah di dalam satu kumpulan tidak berapa lama dahulu, orang tua ini terus melakukan rutin yang sama, di Makkah juga Madinah. Membeli makanan untuk kucing dan memberikan kucing makan apabila berjumpa di jalanan. Ada kucing yang mengekori beliau sehingga ke bilik hotel. Yang lebih menarik, setiapkali apabila beliau tiba di bilik setelah mengerjakan umrah atau dari masjid, ada sekumpulan kucing sudah menunggu beliau di pintu. Tidak mengekori beliau, namun tahu di mana biliknya. Subhanallah. Begitu kejadian Allah kepada makhluk yang lemah ini. Agaknya, saya fikir, kucing-kucing ini berkomunikasi sesama sendiri dan mengajak rakan-rakan yang lain ke bilik pak tua ini di hotel.

Amal ini mungkin sedikit, namun istiqamah untuk Pak Tua. Mana tahu, amalan yang sedikit ini tetapi istiqamah, akan melorongkan Pak Tua ke syurga Allah. Mana kita tahu, haiwan kecil inilah yang akan membantu Pak Tua di akhirat kelak. Kita manusia banyak berdosa dengan Allah, adakah ada bantuan yang telah kita persiapkan untuk kita terima di padang mahsyar nanti....

Kita bagaimana, teman-teman? Adakah kita ada amalan baik yang mudah tetapi istiqamah? Cuba kita bersama, cari-cari, lihat-lihat, peluang untuk buat amal baik, yang boleh istiqamah.

Akhir kalam, saya selitkan kisah Rasulullah dan kucing baginda dari pembacaan saya. Juga kisah Abu Hurairah yang terkenal dengan gelaran Bapa Kucing.

Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza. Setiap  Nabi akan menerima tamu di rumah, baginda selalu mengendong Mueeza dan diletakkan di atas pahanya. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi sukai ialah, Mueeza selalu mengeong ketika mendengar azan seolah-olah ngiaunya seperti mengikuti laungan azan. Nabi juga berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan layaknya menyayangi keluarga sendiri.

Suatu saat, dikala nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Tak ingin mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya. 

Diriwayatkan dan Ali bin Al-Hasan, dan Anas yang menceritakan bahawa Nabi Salallahu ‘alaihi wasallam pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah.Lalu, beliau berkata, “Ya Anas, tuangkan air wudhu untukku ke dalam bejana.”Lalu, Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Nabi menuju bejana.

Namun, seekor kucing datang dan menjilat bejana (bekas minum). Melihat itu, Nabi berhenti sampai kucing tersebut berhenti minum lalu berwudhu.

Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis.”
 
Kisah Abu Hurairah (Bapa Kucing)
Akrab dengan kemiskinan, beliau sering mengikatkan batu ke perutnya, bagi menahan lapar. Dalam sejarah beliau dikenal sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith. Dialah Bapa Kucing Kecil (Abu Hurairah), begitu orang mengenalnya. Kenapa beliau dikenal sebagai “Bapa Kucing”? Di waktu jahiliyah namanya dulu Abdu Syamsi ibn Shakhr Ad-Dausi, dan tatkala beliau memeluk Islam, beliau diberi nama oleh Rasul saw dengan Abdurrahman. beliau sangat penyayang kepada binatang dan mempunyai seekor kucing, yang selalu diberinya makan, digendongnya, dibersihkannya dan diberinya tempat. Kucing itu selalu menyertainya seolah-olah bayang bayangnya. Inilah sebabnya beliau digelar sebagai “Bapa Kucing”.
Penghafal Hadits Terbesar Sepanjang Masa
Shahabat mulia Abu Hurairah adalah seorang perawi agung yang paling banyak meriwayatkan hadith. dia mempunyai bakat yang luar biasa dalam kemampuan dan kekuatan ingatan. Abu Hurairah r.a. mempunyai kelebihan dalam seni menghafal apa yang didengarinya, ingatannya mempunyai keistimewaan dalam segi menghafal dan menyimpan. Didengarya, lalu terpatri dalam mindanya, hampir tidak pemah beliau melupakan satu kata atau satu huruf pun dari apa yang telah didengarnya, sekalipun usia bertambah dan masa saling berganti. Oleh karena itulah, beliau telah mewakafkan hidupnya untuk lebih banyak mendampingi Rasulullah saw sehingga termasuk antara sahabat yang terbanyak menerima dan menghafal Hadith, serta meriwayatkannya.

info : ahlimasjid.com

Terima kasih kerana membaca entri ini.

No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright