Tuesday 8 July 2014

PANDUAN MENGHANTAR ANAK KE RUMAH PENGASUH

Teks : Adillah Ismail

Saya pernah melalui saat-saat ini, menghantar anak ke rumah pengasuh.
Hari pertama, kedua, ke tiga...tak boleh bekerja rasanya. Fikiran melekat kepada mereka.
Teringat-ringat bagaimana pengasuh menjaga anak kita. Ia memang satu dugaan. Berat bagi seorang ibu bekerjaya. Terpaksa memberikan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak kepada pihak ketiga.
Jika keluarga sendiri, mungkin ada ketenangannya. Namun jika kepada pihak yang tidak kita kenali, baru bertemu setelah mencari orang untuk menjaga anak kita, tentulah rasa sangat gusar.

Namun, ingatlah selalu, Allah ada. Kita tinggalkan anak anak dengan niat dalam hati, aku tinggalkan anak ini di rumah pengasuhnya dengan lindungan dari mu ya Allah.

Selepas beredar, bacakan Al Fatihah dari jauh untuk anak yang di tinggalkan.

InshaAllah hati tenang, jiwa senang. Anak kita juga akan mudah dijaga oleh pengasuh. 

Entri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit info berkenaan persiapan kelengkapan apabila menghantar anak ke rumah pengasuh. Semoga panduan ini bermanfaat untuk rakan sekalian.

Peralatan yang perlu ditinggalkan di rumah pengasuh 
(oleh itu kita tidak perlu mengangkut setiap hari)

 
     Buaian 

Sebaiknya kita sediakan. Pengasuh juga mempunyai komitmen terhadap keluarga mereka. Sekiranya anak di tidurkan di dalam buaian, mereka tidur lebih lena dan lama. Bayi yang cukup tidur akan jadi bayi yang gembira dan tidak banyak meragam. Tidak banyak meragam, memudahkan tugas pengasuh. Anak kita juga tidak mudah dimarahi.
Ada sesetengah ibu ayah yang tidak suka menidurkan anak di dalam buaian, namun cadangan saya, considerlah perkara ini apabila menghantar kepada pengasuh.

    Walker
Bagi bayi yang sudah boleh diletakkan di dalam walker, sediakan untuk rumah pengasuh. Jika tidak mahu beli yang baru, tiada masalah untuk bawa setiap hari. Dengan adanya walker, anak-anak kurang merangkak di lantai. Pada peringkat ini, mereka sangat mudah memasukkan barang ke dalam mulut. Kita tidak dapat memastikan tahap keselamatan rumah pengasuh sehingga tahap itu, jadi kita sediakan alat bantu yang boleh meminimakan masalah tersebut.


Lapik tidur / Tilam bayi

Saya lebih suka sediakan sendiri. Oleh itu mudah untuk saya memastikan kebersihannya dengan membawa balik setiap minggu untuk di cuci. Antara kita dan pengasuh tentu ada cerewetnya, namun apalah kemampuan kita untuk memastikan pengasuh mesti mengikut syarat kita.


 
Alat mandian/Bedak/Nappy Cream/Vicks/Minyak untuk bayi

Tinggalkan ia dalam botol yang sederhana besar bagi barang mandian. Saya cadangkan begitu kerana kita membeli untuk anak kita sahaja. Penggunaan juga minima. Nappy cream sangat penting kerana pada usia begini, kulit kanak-kaak sangat sensitif dan mudah kemerahan. Ia akan menganggu tidur bayi jika kulit mereka kemerahan di sebabkan lampin. Bayi juga akan menjadi tidak selesa. Mudahkan pengasuh dengan menyediakan ia lebih awal.



PERSEDIAAN SETIAP HARI


1. Baju anak - 3 pasang (pagi - tengahari - petang)

2. Cloth diaper (CD)  (bagi yang menggunakannya) - 4 pasang
Beritahu pengasuh kaedah mudah menggunakan CD. Sesetengah pengasuh mungkin tidak suka  menggunakannya. Yakinkan bahawa mereka hanya perlu menggantikan sahaj dan tidak perlu membasuh CD anak kita. Jika bernajis, hanya minta jirus sahaja najis ke tandas. Ibu akan bawa balik dan cuci di rumah. Seperti yang kita sedia maklum, CD ada kaedah basuhan tersediri bagi mengelakkan ia telap air.


3. Beg menyimpan CD.
Beli beg menyimpan CD yang bersesuaian bagi mengelakkan kita terganggu dengan bau CD yang telah digunakan.

4. Pampers
Ketika anak saya masih menggunakan pampers dahulu, saya hanya bekalkan dengan jumlah yang berpatutan  iaitu 4/5 unit sahaja. saya tidak meninggalkan 1 beg besar pampers di rumah pengasuh.

5. Beg baju kotor anak
Boleh juga gunakan beg plastik. Elakkan kita serahkan tanggungjawab membasuh baju anak kita kepada pengasuh walaupun mereka tidak kisah untuk membantu. Mungkin sekali sekala tiada masalah. Terdapat kenalan saya yang menyediakan baju khas untuk anak di rumah pengasuh. Ditinggalkan di rumah pengasuh. Namun seringkali saya lihat, anak-anak ini kelihatan terlalu lusuh keadaan mereka kerana baju tersebut kurang dimonitor oleh ibu.

6. Bekal makanan anak
Saya menyediakan bekal makanan bayi saya sendiri terutama yang berusia di bawah 2 tahun. Kebiasaannya lauk dan sayur sahaja saya bekalkan atau bubur untuk bayi ketika kecil. Nasi akan disediakan pengasuh. Hal ini adalah bagi mengawal bayi kita makan makanan yang terlalu banyak perisa dan garam yang boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang bayi. Pengasuh memang boleh memasak untuk anak kita, namun...bukankah air tangan ibu itu lebih berkat dan bersih :)? Sekurang-kurangnya mereka masih makan masakan air tangan ibunya.

7. Alat permainan
Bekalkan alat permainan kesukaan anak bersama-sama mereka

8. Ubat-ubatan
Jika anak demam, jangan lupa bekalkan ubat-ubatan serta maklumkan kepada engasuh dos dan jadual yang betul agar anak kita tidak terlebih dos sekiranya panduan yang betul tidak di berikan.
Ada pengasuh yang sudah berusia atau anak-anak mereka sudah membesar. Kemungkinan pengalaman bersama bayi atau anak kecil, sudah ingat-ingat lupa. Sebagai ibu prihatin, bantu pengasuh. Kesediaan mereka menjaga anak kita sebenarnya sudah sebesar-besar rahmat.

9. Bekalan susu formula / susu ibu
Boleh juga tinggalkan 1 tin susu bayi anda. Saya tiada pengalaman berkaitan kerana anak-anak saya minum susu ibu sehingga berusia 2 tahun. Oleh itu saya cuma bekalkan susu ibu yang telah dibekukan pada setiap hari. Jangan lupa ajari pengasuh bagaimana untuk menguruskan susu ibu di dalam botol. Sebaiknya kita telah sediakan mengikut  berapa kali anak kita minum susu ketika keluar bekerja. Kebiasaannya anak yang minum susu ibu tidak menyusu terlalu kerap apabila ibu tiada di sisi. Itu fitrah dan rasa memahami antara ibu dan anak kurniaan Allah.

Namun, pantau-pantaulah bekalan susu berkenaan. Agar anak kita tidak di berikan susu sahaja sehari-hari. Anak kita perlu di beri makanan pejal apabila telah sampai masa. Ia adalah untuk memastikan tumbesaran yang sihat dan seimbang. Susu sahaja tidak memadai.

Akhir kalam

Jangan lupa JADUAL ANAK...
Seringkali ibu rasa tidak perlu atau terlupa memberikan jadual kerana menganggap pengasuh sedia maklum. Ingatlah, anak kita tidak sama seperti anak mereka. Buat permulaan, buatkan jadual yang ringkas. bantu pengasuh memahami anak kita yang masih kecil. Kasihanilah anak-anak kita yang kecil ini. Jangan biarkan mereka terkejut dengan suasana baru di rumah orang lain.
Sekurang-kurangnya dengan jadual ini, anak kita akan rasa 'masih dekat' dengan ibu, walaupun di pelihara sebentar oleh orang lain.

Contoh jadual ringkas

8.30 pagi - Si Comel mandi
                  Minum susu 

9.30 pagi - Si Comel tidur
                  Bangun dan makan


Begitulah seterusnya....ikut kebiasaan masing-masing.
Yang penting, jadual tidur, minum susu dan makan. Juga boleh tuliskan apa-apa perkara berkaitan agar pengasuh tidak lupa. Cadangkan jadual ini di tampal di dinding atau peti sejuk.
Namun begitu, ia tidaklah muktamad kepada jadual. Jadual hanya panduan. Lama-kelamaan pengasuh dan anak akan mengikut kesesuaian.

Semoga info ini berguna untuk teman-teman.
Jangan lupa, tinggalkan anak dengan Al Fatihah. Allah pasti memeliharanya.



Salam Hormat
Terima kasih kerana membaca entri ini




Tuesday 1 July 2014

Panduan dan Etika Untuk Whatsapp

Teks : Adillah Ismail

Panduan ini di tulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Saya alami, saya kaji  dan saya perhati. Dari situ, lahirlah idea untuk saya berkongsi di blog, panduan dan etika bagi semua terutama dalam mengendalikan atau menjadi admin untuk grup whatsapp.

Sejak akhir-akhir ini begitu banyak grup-grup whatsapp di tubuhkan kerana ia bersifat percuma dan tidak perlu ada sistem kebenaran (approve) dan sebagainya. Cukup ada seorang admin dan admin hanya perlu menambah nombor-nombor telefon rakan-rakan atau individu lain untuk menjadikan ia sebuah kumpulan komunikasi maya.

Ada kebaikan dan banyak juga sisi negatif yang perlu kita renungi. Adakalanya ada di antara ahli yang kita masukkan dalam kumpulan 'left group' secara tiba-tiba. Bagi yang mengenali, akan tertanya-tanya faktor si dia berbuat demikian. Ada juga rakan-rakan saya yang membuat pengumuman secara rasmi di laman FB masing-masing agar tidak memasukkan nama mereka dalam mana-mana grup whatsapp tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Saya sendiri merupakan grup admin kepada sebuah kumpulan yang ada diantaranya tidak mengenali satu sama lain. Jadi disitu saya harus berfungsi dengan berkesan. Saya banyak belajar dari sini.


Bersama ini saya sertakan panduan berkenaan. Semoga ia boleh membantu pembaca yang mungkin baru bercadang untuk menubuhkan grup whatsapp atau baru saja install aplikasi ini.


Kenalpasti kumpulan yang diwujudkan adalah kumpulan yang mempunyai minat atau pengetahuan yang sama. Contohnya, kumpulan majlis ilmu yang sama, kumpulan rakan-rakan sekolah yang lama, kumpulan persatuan dan sebagainya,

Tidak memasukkan mana-mana individu yang tidak berkaitan atau langsung tidak mengenali yang lain.

Minta izin tuan punya diri sebelum nama mereka dimasukkan ke dalam grup berkenaan

Perkenalkan semua ahli kumpulan ketika grup ditubuhkan. Jika ada ahli kumpulan yang dimasukkan kemudian, perkenalkan juga agar semua ahli mengetahui siapakah rakan baru itu. Maklumkan juga tujuan penubuhan grup. Adakalanya, mereka yang dimasukkan tidak biasa dengan grup whatsapp kerana mungkin beliau orang yang senior, kurang menggunakan gajet atau tidak mempunyai pengalaman berada dalam mana-mana grup whatsapp sebelum ini. Jika ada ahli baru yang dimasukkan, 'tegur-tegurlah' mereka. Ucapkan selamat datang dan sebagainya.

Jangan jadikan ruang grup untuk berbual-bual antara 2 atau 3 orang jika ia hanya khusus kepada isu yang sedang berkomunikasi sahaja mengetahui. Ia sangat menganggu rakan-rakan lain dengan bunyi notification tanpa henti serta menyebabkan bateri telefon mudah habis

Tidak menimbulkan isu sensitif terutama jika ada ahli kumpulan terkait dengan perkara berkenaan. Walaupun di alam maya, sila jaga air muka dan maruah pihak lain.

Sebaiknya jika anda tidak suka berada dalam kumpulan berkenaan, sila maklumkan kepada admin dan mohon diri di 'remove'. Bukan 'left group'. Namun jika kurang selesa untuk memaklumkan, ' left group' adalah pilihan yang wajar.

Lihat tujuan utama penubuhan grup. Saya yakin, setiap penubuhan grup adalah untuk berbincang dan berbual-bual secara santai dengan ahli kumpulan yang dikenali. Oleh itu kurangkan berkongsi gambar-gambar yang di forward dari rakan lain mahupun gambar yang tidak begitu berkaitan. Ia terlalu menganggu memori gajet masing-masing. Berkongsilah seadanya dan sewajarnya.

Berikan nama grup whatsapp nama yang jelas dan mudah di fahami,

Sebagai admin, tutup grup jika ia sudah tidak aktif dan tidak berfungsi lagi. Ia adalah tanggungjawab seorang admin. Walaupun ia bukan rasmi tetapi kita juga bertanggungjawab terhadap grup yang ditubuhkan.


Dunia hari ini memang menarik dan unik. Tidak bersua tetapi boleh mesra walaupun hanya di dalam grup whatsapp. Bertahun tidak berjumpa tetapi boleh 'ketawa'di whatsapp dengan imej-imej yang comel. Begitulah keadaan dunia masa kini. Sesuatu yang mungkin kita tidak terfikir ia boleh menjadi realiti pada hari ini.

Bagi yang sentiasa berkepit dengan gajet, pandai-pandailah atur masa kita. Jangan keterlaluan melayani mesej di whatsapp hingga lalai dalam urusan seharian. Tidak semua harus anda layani pada masa mesej di terima. Berpada-padalah uruskan masa dengan terhormat.

Salam Hormat




Copyright

Copyright