Tuesday 1 July 2014

Panduan dan Etika Untuk Whatsapp

Teks : Adillah Ismail

Panduan ini di tulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Saya alami, saya kaji  dan saya perhati. Dari situ, lahirlah idea untuk saya berkongsi di blog, panduan dan etika bagi semua terutama dalam mengendalikan atau menjadi admin untuk grup whatsapp.

Sejak akhir-akhir ini begitu banyak grup-grup whatsapp di tubuhkan kerana ia bersifat percuma dan tidak perlu ada sistem kebenaran (approve) dan sebagainya. Cukup ada seorang admin dan admin hanya perlu menambah nombor-nombor telefon rakan-rakan atau individu lain untuk menjadikan ia sebuah kumpulan komunikasi maya.

Ada kebaikan dan banyak juga sisi negatif yang perlu kita renungi. Adakalanya ada di antara ahli yang kita masukkan dalam kumpulan 'left group' secara tiba-tiba. Bagi yang mengenali, akan tertanya-tanya faktor si dia berbuat demikian. Ada juga rakan-rakan saya yang membuat pengumuman secara rasmi di laman FB masing-masing agar tidak memasukkan nama mereka dalam mana-mana grup whatsapp tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Saya sendiri merupakan grup admin kepada sebuah kumpulan yang ada diantaranya tidak mengenali satu sama lain. Jadi disitu saya harus berfungsi dengan berkesan. Saya banyak belajar dari sini.


Bersama ini saya sertakan panduan berkenaan. Semoga ia boleh membantu pembaca yang mungkin baru bercadang untuk menubuhkan grup whatsapp atau baru saja install aplikasi ini.


Kenalpasti kumpulan yang diwujudkan adalah kumpulan yang mempunyai minat atau pengetahuan yang sama. Contohnya, kumpulan majlis ilmu yang sama, kumpulan rakan-rakan sekolah yang lama, kumpulan persatuan dan sebagainya,

Tidak memasukkan mana-mana individu yang tidak berkaitan atau langsung tidak mengenali yang lain.

Minta izin tuan punya diri sebelum nama mereka dimasukkan ke dalam grup berkenaan

Perkenalkan semua ahli kumpulan ketika grup ditubuhkan. Jika ada ahli kumpulan yang dimasukkan kemudian, perkenalkan juga agar semua ahli mengetahui siapakah rakan baru itu. Maklumkan juga tujuan penubuhan grup. Adakalanya, mereka yang dimasukkan tidak biasa dengan grup whatsapp kerana mungkin beliau orang yang senior, kurang menggunakan gajet atau tidak mempunyai pengalaman berada dalam mana-mana grup whatsapp sebelum ini. Jika ada ahli baru yang dimasukkan, 'tegur-tegurlah' mereka. Ucapkan selamat datang dan sebagainya.

Jangan jadikan ruang grup untuk berbual-bual antara 2 atau 3 orang jika ia hanya khusus kepada isu yang sedang berkomunikasi sahaja mengetahui. Ia sangat menganggu rakan-rakan lain dengan bunyi notification tanpa henti serta menyebabkan bateri telefon mudah habis

Tidak menimbulkan isu sensitif terutama jika ada ahli kumpulan terkait dengan perkara berkenaan. Walaupun di alam maya, sila jaga air muka dan maruah pihak lain.

Sebaiknya jika anda tidak suka berada dalam kumpulan berkenaan, sila maklumkan kepada admin dan mohon diri di 'remove'. Bukan 'left group'. Namun jika kurang selesa untuk memaklumkan, ' left group' adalah pilihan yang wajar.

Lihat tujuan utama penubuhan grup. Saya yakin, setiap penubuhan grup adalah untuk berbincang dan berbual-bual secara santai dengan ahli kumpulan yang dikenali. Oleh itu kurangkan berkongsi gambar-gambar yang di forward dari rakan lain mahupun gambar yang tidak begitu berkaitan. Ia terlalu menganggu memori gajet masing-masing. Berkongsilah seadanya dan sewajarnya.

Berikan nama grup whatsapp nama yang jelas dan mudah di fahami,

Sebagai admin, tutup grup jika ia sudah tidak aktif dan tidak berfungsi lagi. Ia adalah tanggungjawab seorang admin. Walaupun ia bukan rasmi tetapi kita juga bertanggungjawab terhadap grup yang ditubuhkan.


Dunia hari ini memang menarik dan unik. Tidak bersua tetapi boleh mesra walaupun hanya di dalam grup whatsapp. Bertahun tidak berjumpa tetapi boleh 'ketawa'di whatsapp dengan imej-imej yang comel. Begitulah keadaan dunia masa kini. Sesuatu yang mungkin kita tidak terfikir ia boleh menjadi realiti pada hari ini.

Bagi yang sentiasa berkepit dengan gajet, pandai-pandailah atur masa kita. Jangan keterlaluan melayani mesej di whatsapp hingga lalai dalam urusan seharian. Tidak semua harus anda layani pada masa mesej di terima. Berpada-padalah uruskan masa dengan terhormat.

Salam Hormat




5 comments:

  1. Ukhti, salam'alaik. Izin share ya

    ReplyDelete
  2. Ukhti, salam'alaik. Izin share ya

    ReplyDelete
  3. Perkongsian matang hasil pengalaman benar2 hebat. Terima kasih tuan.

    ReplyDelete
  4. Panduan yang bermanfaat dan matang. Tahniah dan mohon izin share.

    ReplyDelete
  5. Pasti admin tidak pernah dapat ahli yg suka "cakap" dari taip, dn dijawab dn disambung oleh beberapa rakan nya saja dn ia nya berlangsung agak lama sehingga saya sendiri malas nk membuka dn mendengar.. mmcmna ni?

    ReplyDelete

Copyright

Copyright