Tuesday 31 December 2013

Tuan, Hanya Kerana Sekampit Beras...

Teks : Adillah Ismail

Saya teringat kisah ini, di kala rakyat berada dalam keadaan tertekan akibat kenaikan harga barang yang mendadak. Ia bukan cerita politik.

Kisah ini tiada kaitan dengan harga barang tetapi ia memberi kesan kepada hati saya apabila mengetahuinya. Saya kongsikan di sini untuk kita bersama-sama melihat ia dari perspektif yang lebih jauh.

Berdekatan rumah saya ada sebuah Tok Pekong (seperti yang kita biasa panggil dan untuk lebih mudah faham). Kebanyakan Tok Pekong di bandaraya ini memang kebiasaannya besar binaannya, kerana kaum Cina merupakan antara kaum majoriti di negeri ini.

Saya sering mendengar sifat pemurah Tok Pekong di sini yang sering mendermakan barang-barang keperluan harian kepada golongan yang memerlukan. Namun saya tidak mengambil pusing kerana ia memang peranan badan-badan agama (tanpa mengira agama) untuk berbuat baik dan bersifat pemurah kepada sesiapa sahaja.

Beberapa bulan lepas, kakak ini yang saya namakan kak R, bercerita kepada saya pengalaman beliau. 

Pada suatu hari, beliau dan teman baiknya diajak oleh seorang rakan untuk mengambil sumbangan beras, kopi, gula dan lain-lain. Beliau agak terkejut apabila rakan beliau, yang seagama, sebangsa dengan saya (juga anda-mungkin) membawanya ke tempat yang saya sebut di atas. Rupanya di Tok Pekong tersebutlah, mereka akan mengambil sumbangan. Fikirnya pada mula-mula rakan tersebut mengajak, mungkin di pejabat wakil rakyat berdekatan atau mana-mana badan yang berkaitan, oleh itu beliau agak teruja untuk turut serta. Kak R dan temannya bukan orang senang. Ada kerja, adalah duit. Begitulah ibarat kata. Oleh itu, mengambil sumbangan sedemikian, amat beliau nantikan.

Tanpa di duga, rupanya apabila mahu mengambil sumbangan tersebut, mereka perlu menyembah Tok Pekong tersebut. Astaghfirullah! Saya amat terkejut. Namun saya bersyukur kerana menurut Kak R, walaupun asas agamanya sangat kurang, beliau tidak sampai hati untuk membelakangi agama demi sekampit beras. Walaupun teman yang membawa mereka memaksa juga untuk menyembah, kak R dan temannya tetap menolak. Cuma apa yang menyedihkan, rakan tadi dengan rela hati pergi menyembah berhala tersebut dan tersenyum lebar kerana berjaya mendapatkan bekalan makanan yang nilainya tidak seberapa itu.

Kak R beritahu saya, memang mereka orang susah tapi tidaklah sampai hati menggadaikan iman dan maruah semudah itu.  Mereka pulang dengan tangan kosong tetapi alhamdulillah, hati mereka tidak kosong.

Saya tidak mahu menimbulkan apa-apa isu di sini. Saya hanya bercerita perkara realiti. Ia bukan kejadian 1980-an....ia kejadian 2013. Mungkin anda juga ada cerita tersendiri.

Teman, jika ada peluang untuk berkenalan dengan orang susah. Persilakanlah diri anda. Jangan pandanng mereka sebelah mata. Dari mereka anda akan kenal 'dunia' sebenar. Ambil tahu dan bantu.

Saya berdoa pada Allah agar semua ummat Islam terpelihara akidahnya. Jangan ia tergadai hanya kerana SEKAMPIT BERAS!

Salam Hormat, Salam Tahun Baru Yang Berkat.

*saya mohon maaf sekiranya ada teman pembaca beragama lain di sini. Saya tuliskan kisah ini di sini bukan untuk bersifat racist tetapi ia hanya luahan dukacita saya mengenangkan saudara sebangsa seagama saya.

Terima kasih kerana membaca entri ini.


Apa yang kita belajar dalam kelas asas blog dan fan page (mula bisnes)
a. Kelas ini khusus bagi suri rumah yang benar-benar zero tentang urus niaga secara online.
b. Mahu mula tetapi tidak tahu cara.
c. Mahu mula tetapi tidak ada produk. Kami menyediakan beberapa produk pilihan, produk sunnah, buku, pakej ebook, ruang periklanan. Juga peluang sebagai pembantu kelas di akademi bekerja di rumah.
d. Kelas ini sesuai untuk belajar menjana pendapatan awal RM10, kemudian tingkatkan lagi, RM20, RM50, RM100 begitulah seterusnya (ini adlaah tertakluk kepada usaha yang konsisten daripada peserta.
e. Kelas ini juga sesuai untuk suri yang sibuk, surirumah sepenuh masa, suri bekerjayaa yang mahu buat secara sambilan. Ini adalah langkah awal, kami sediakan berdasarkan permintaan demi permintaan.
f. Apabaila sudah pandai, boleh belajar lagi dengan otai-otai pemasaran yang lain. juga bina jaringan bisnes secara online.
g. Apa yang kita belajar di dalam kelas ini. Analisa dahulu untuk kenalpasti apa produk yang sesuai/minat/pengalaman. Belajar buat blog kedai online, belajar menulis konsisten, belajar buat borang tempahan, jenis-jenis entri, belajar buat pan page, belajar buat pautan, belajar buat pautan antara blog untuk aliran trafik.
 

Merebus Telur Dengan Mudah

Kebiasaannya apabila kita merebus telur, ada yang kurang sempurna. Tidak cukup masak atau terlampau lama sehingga menyebabkan pembaziran tenaga. Ada antara kita ternanti-nanti bila telur yang direbus itu akan masak.

Petuanya, mudah saja. Masukkan sedikit beras ketika merebus telur. Jangan terlalu banyak. Memadai 2,3 cubit sahaja. Setelah beras menjadi nasi, maka telur pun sudah sempurna di rebus. InshaAllah.

Saya pernah cuba untuk 3 biji telur atau 90 biji telur. Berhasil. Tiada telur yang mentah. Mudah di kupas. Aplikasi yang sama boleh digunakan tidak kira berapa jumlah telur. Namun saya tidak pernah mencuba sehingga beratus biji ye. Paling banyak 90 biji ssetakat ini.

Semoga petua ini membantu anda memudahkan kerja merebus telur. Tidak perlu ternanti-nanti. Tidak akan terlebih rebus.

Selamat mencuba :)

Terima kasih kerana membaca entri ini.




Sunday 29 December 2013

Memotong Kek Cantik dan Kemas

Kaedah bagi memastikan kek cantik dipotong dan tidak comot ini saya perolehi dari seorang anak muda (lelaki) yang mengusahakan perniagaan kek. Adik ini bijak mencari peluang dan kek beliau mendapat sambutan yang sungguh hebat di daerah kami.

Mudah saja caranya. Mungkin ada juga yang sudah mengetahui caranya.

Kita hanya perlu menggunakan pisau yang di rendam di dalam air panas. Bukan pisau plastik potong kek tu. Pisau yang di dapur atau sesiapa ada pisau khas juga boleh di gunakan. Yang penting adalah ia mesti di rendam dalam air panas.

Pasti kek anda kelihatan sempurna di potong. Cubalah!

                                                     *imej dari Google

Tuesday 24 December 2013

Syria Perlukan Perhatianmu, Teman.

Assalamualaikum teman yang dihormati,

Syria memerlukan sumbangan dari kita. 
Lapangkanlah sedikit harta kita utk membantu mereka di Syria. Apa sahaja yang kalian mampu untuk membantu.

Hampir 3 tahun krisis,
Lebih 200, 000 nyawa terkorban, lebih 6000 drpdnya adalah kanak-kanak,
Lebih 5 juta menjadi pelarian di tanah mereka sendiri,
Lebih 2 juta mencuba nasib di luar tanah Syria..
Resit pengecualian cukai disediakan.

Dalam 4 misi Malaysia Life Line For Syria ke Syria sebelum ini, mereka semua telah berjaya menghantar sejumlah RM2.01 juta. Dengan kejayaan membina sebuah kilang roti, pusat rawatan kecemasan, perigi air, 6 buah sekolah dan juga hospital yg dibantu secara berkala. Hulurkan tangan anda, ringankan beban mereka.

Namun sumbangan masih terus mereka perlukan terutama di saat musim sejuk yang sedang berlaku sekarang. 

Salurkan sumbangan anda ke:

MAYBANK: GABUNGAN SALAM SYRIA
No akaun : 562218207666
Email : malaysia4syria@gmail.com
No telefon : 0341416732 / 0132226057
Malaysia Life Line For Syria

* Untuk pengeluaran resit pengecualian cukai, sila emelkan kepada MLL4S : Nama, alamat rumah dan juga no telefon beserta bukti sumbangan.


Terima kasih kerana membaca entri ini. 

Sunday 22 December 2013

Sepinggan Nasi Di Rumah Mantan Menteri

Teks : Adillah Ismail

Di negeri Sarawak, ia mempunyai kabinet tersendiri. Kabinet Negeri Sarawak ini diketuai oleh Ketua Menteri, Menteri Kanan, Menteri dan Menteri Muda. 

Saya mengenali seorang mantan menteri wanita di negeri ini iaitu Datuk HH. Datuk HH, pernah menjawat jawatan menteri penuh dalam kabinet Sarawak satu ketika dulu. Sekitar tahun 1980-an.

Saya berkenalan dengan beliau setelah diperkenalkan oleh rakan baik saya, Dr Nurul Sya'adah Hasan. Ketika itu saya masih bergelar pelajar sebuah universiti tempatan pada tahun 2001. Sejak diperkenalkan oleh Dr Nurul, saya sering ke rumah Datuk HH yang saya panggil Nekwa. Sungguh saya berterima kasih kepada sahabat saya kerana memperkenalkan saya kepada Datuk HH.

Masa berlalu, sehingga saya mendirikan rumahtangga. Rutin menziarahi beliau terus berjalan kerana beliau sudah saya anggap sebagai keluarga di sini memandangkan kami orang merantau. Untuk pulang ke kampung dengan kerap, adalah mustahil. Oleh itu kami tukarkan ia dengan menziarahi Nekwa. Ia berterusan hingga kini.

Saya ingin berkongsi satu kebaikan beliau dengan kalian. Sepanjang mengenali beliau, saya tidak pernah balik dari rumah tersebut tanpa makan nasi. Sekejap atau lama, pasti makan nasi. Beliau akan memastikan hampir setiap tetamunya malahan anak-anak buah yang membantunya mesti makan nasi apabila singgah ke rumah beliau. Boleh saya katakan,hampir tidak pernah saya melihat rumahnya tiada nasi. Lauknya, lauk rakyat biasa. Tidak hidup bermewah-mewah. Kami, mereka dan beliau akan makan lauk yang sama walaupun mungkin beliau jauh lebih mampu untuk makan makanan yang lebih mewah. Tapi itulah yang memikat selera!Adakalanya, beliau sendiri membantu menyediakan juadah. Saya paling gemar masakan beliau, ayam masak cili kongkang. Lucu bunyinya tapi rasanya amat lazat sekali. Itu specialities beliau. Ia akan dimasak oleh beliau sendiri apabila anak-anaknya yang menetap di Semenanjung akan pulang ke rumahnya di Kuching.

Jika ziarah kami kali tersebut, beliau berpergian, pasti dipesan kepada pembantu rumahnya agar sebelum kami pulang, harus dihidang nasi.  Kami tidak boleh balik selagi tidak menjamah nasi. Nekwa juga bertuah kerana pembantunya amat cekap memasak. Sesuai dengan selera semua.

Kebaikan ini meresap ke dalam hati saya. walaupun topik hari ini hanya bercerita mengenai kisah sepinggan nasi. Sungguh saya terkesan dengan kebaikan tersebut. Walaupun kami tidak pernah mengenali beliau ketika menjadi menteri dahulu namun dari caranya, beliau amat teliti dalam setiap apa yang dilakukan. Sehingga berada di meja makan.

Tidak hairanlah beliau terus dikelilingi oleh mereka-mereka yang setia kepadanya. Bukan kerana pangkat, wang dan harta kerana zaman itu telah lama berlalu. Tetapi kerana kebaikan hatinya tanpa melihat siapa sahaja yang menjadi tetamu di rumahnya. Beliau bukan lagi seorang menteri tetapi saya melihat beliau terus dibantu oleh insan-insan yang setia.

Kisah ini mungkin ringkas. Namun apa yang ingin saya sampaikan adalah, untuk berbuat baik itu tidaklah susah. Setinggi mana pun pangkat seseorang itu, apabila dia memuliakan tetamu, kedudukannya jauh lebih tinggi dari pangkat yang disandang. 

Marilah kita bersama memuliaka tetamu seperti pesan Rasulullah s.a.w ini.

Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
وَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَ الْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ وَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَ الْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaknya memuliakan tetangganya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaknya memuliakan tamunya.” (Muttafaqun ‘Alaihi, dari shahabat Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu)

Salam Hormat

Saturday 21 December 2013

Cara Mudah Dan Selamat Buang Kerak di Kepala Bayi

Teks : Adillah Ismail

Masalah kerak di kepala bayi yang baru lahir adalah masalah biasa yang sering di hadapi oleh ibu-ibu.
Jika dibiarkan ia menyebabkan bayi anda kelihatan tidak bersih.
Saya ingin berkongsi cara yang mudah dan selamat untuk membersihkan kepala bayi anda.
Cuma gunakan minyak masak di rumah. Samada minyak sawit ataupun minyak kelapa.
Sapukan di kepala bayi anda, biarkan beberapa minit dan sikat dengan perlahan.
InshaAllah kerak akan mudah di bersihkan. Tidak perlu dikikis kerana bimbang ia menyakiti kepala bayi anda yang masih lembut.
Bolehkah guna baby oil yang terdapat di pasaran? Bagi saya, minyak yang paling selamat untuk digunakan dikulit kita adalah minyak yang kita gunakan untuk makan. Saya pernah mencuba menggunakan baby oil tetapi saya dapati minyak masak lebih berkesan!
Cubalah, inshaAllah anda pasti akan berpuas hati.


Friday 20 December 2013

Khasiat Pokok Mulberry/Blackberry

Di ruangan ini saya akan berkongsi dengan semua, petua-petua pilihan saya iaitu yang saya cuba dan guna dan ia berkesan. Semoga ia juga boleh membantu teman-teman pembaca semua.

KHASIAT POKOK BLACKBERRY/ MULBERRY

Saya menerima anak pokok ini dari tuan punya taska anak saya, Kak Bo. Saya lihat ia banyak di tanam di sekeliling rumah beliau. Sejarah saya mengetahui khasiatnya ialah apabila anak saya sakit perut (keracunan makanan). Kak Bo berikan air rebusan daun ini kepada anak saya dan terus sembuh. Alhamdulillah.

Saya dan suami juga sekiranya mengalami keracunan makanan, memang akan terus rebus daun ini dan minum airnya. Dengan izin allah, 2 kali minum, sakit perut pun akan baik. Tiada lagi buang air besar dan muntah.

Saya cadangkan ia di tanam di rumah masing-masing. Saya tanam ia dalam pasu sahaja. Tanam di tanah pun boleh macam dalam blog Cik Bam Bam ni Buahnya masam-masam manis. Boleh dimakan. Boleh juga dibuat sambal belacan!

Kadangkala kita tidak tahu bila kita akan kena sakit perut ini, maklumlah kadangkala salah makan, makanan kurang bersih atau pun alah pada air. InshaAllah, daun ini sangat berkhasiat.

Saya cuba google maklumat lanjut tentang daun ini dan saya dapat maklumat lanjut dari blog Syamim Harun. Rupanya terlalu banyak khasiat dari pokok ini. Cuma apa yang saya paparkan di blog saya adalah perkongsian kepada apa yang telah saya cuba dan berkesan. Namun demikian, kalian boleh mencubanya seperti maklumat yang terdapat di blog saudara Syamim ini.

Cubalah, inshaAllah semoga ia memberi manfaat dan memberi kesembuhan buat anda, dengan izin Allah swt.


                                                    Pokok Blackberry yang ditanam di rumah
                                                    saya. Fasa ke 2 - buah warna merah.                
                                                    *fasa pertama : buahnya berwarna hijau


                                                    Fasa ke 3 - buah yang dah masak.
                                                    Daun yang boleh direbus untuk ubat sakit perut.
                                                   

Tuesday 17 December 2013

Anugerah 16 orang anak

Teks : Adillah Ismail

Baru-baru ini saya menerima tetamu rakan lama sekolah rendah. Kak Lailatul dan suami datang melancong ke Kuching bersama 5 orang anak mereka. Kami saling mengenali sejak sekolah rendah. Boleh dikatakan setiap adik beradik saya ada batch adik beradik kak Lailatul. 

Saya tahu beliau ramai adik beradik, terlalu ramai. Tetapi tidak pasti berapa. Kali ini, saya bertanya juga. Subhanallah, Maha Suci Allah. Ibunya telah melahirkan 16 orang anak!Adik beradik saya 16 orang kata kak Lailatul dan beliau anak ke 7. Menelan air liur saya mendengarnya.

Boleh bayangkan di rumah anda ada 7 orang anak lelaki dan 9 orang anak perempuan? Mungkin ada yang berkata (termasuk diri saya sendiri), yang sekian ada ini pun, sudah meriah keadaannya. Selalu kita mendengar, anaknya 12, 10, 9 atau 7 mahu pun 8. Itu juga sudah membuatkan kita kagum,kan? Tetapi ini, 16 orang! Meriahnya kenduri, meriahnya Aidilfitri!

Ibunya melahirkan anak hampir setiap tahun dan ada juga yang selang setahun. Yang sulung lahir pada tahun 1968 dan adik bongsu beliau lahir pada tahun 1992. Selama 24 tahun itu, 16 orang anak dilahirkan. Semua di lahirkan normal. Subhanallah.

Ibu kak Lailatul tidak juga melahirkan anak pada usia yang amat muda seperti kebiasaan orang dahulu. Anak yang sulung lahir semasa beliau berumur 20 tahun. Dan kini, yang bungsu sudah menginjak 21 tahun umurnya.

Ustaz Badar(ayah kak Lailatul) merupakan bekas guru dan sejak dulu hingga kini, setiap hari mengajar kuliah di surau dan masjid-masjid. Bukan sekadar di sekitar daerah kami. Malahan jauh kuliah beliau berlangsung. Melepasi sempadan daerah. Beliau mungkin tidak dikenali di media arus perdana. Namun namanya meniti di setiap bibir orang-orang di daerah kami.

Kini dalam usia 65 tahun (usia makcik) dengan 49 orang cucu setakat ini, makcik dan ustaz Badar masih seperti dulu. Baik dan ramah orangnya. Masih dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah Taala. Sangat kami senangi.

...jika Allah mahu menganugerahkan rezeki. Subhanallah. Ia anugerah buat mereka yang terpilih. Bukan kerna hartanya,namun apa yang dilakukannya untuk agama.

Begitulah, jika Allah mengurniakan rezeki. Ia bukan wang ringgit. Tetapi nilai yang lebih tinggi dari wang di genggaman.


Semoga kita juga menjadi insan terpilih.

Salam hormat.

Gambar teman saya bersama semua adik beradik ketika perkahwinan adik yang ke 15 pada bulan Ogos 2013. Cuma seorang tiada dalam gambar. Teman saya,kak Lailatul, duduk kanan sekali, bertudung bunga warna coklat.


Monday 16 December 2013

Dia Pengurus Di Situ?

Teks : Adillah Ismail

Anak muda ini saya temui ketika beliau masih remaja. Di hantar ke institusi untuk pesalah juvana kerana terlibat dengan jenayah kecil. Namun saya tidak ingat apa kesalahan beliau. Saya berkenalan dengan Robin ketika saya menjalani latihan praktikal di institusi ini seterusnya menjadi sukarelawan di situ untuk satu tempoh.

Orangnya berperwatakan lembut, berkulit putih dan diminati kerana wajahnya yang 'cute'. Saya rasa seolah tidak percaya bahawa beliau ada melakukan jenayah. Sefaham saya, pesalah juvana di institusi negeri ini, jenayahnya kecil-kecilan sahaja (pada ketika itu). Namun amat saya kesali, kerana sedikit kesalahan, dihantar ke insititusi, jauh dari keluarga demi untuk menghukum kesalahan tersebut. Tapi yelah, kecil bagi saya tetapi mungkin besar bagi orang yang menghukum.

Robin baik dengan saya. Setiap kali saya hadir untuk bertugas, dia sentiasa menegur saya dan kadangkala kami berbual-bual. Tugas saya ketika itu, lebih kepada berbual-bual kerana anak-anak di sini memerlukan individu untuk bercakap. Menerima mereka tanpa syarat. Mereka kesunyian. Namun, Robin seringkali keluar masuk lokap institusi kerana mempunyai tabiat di luar tabii dengan pesalah lelaki di situ. Saya amat kasihan melihat Robin. Bagi saya, ia bukan 100% kesalahan Robin mahupun anak-anak lelaki disitu. Ia adalah faktor persekitaran dan suasana mereka dibesarkan. Kita tidak boleh menghukum.
 
Bertahun saya tidak menemui Robin, malahan saya hampir melupakan 'rakan' saya ini. Sehinggalah pada satu hari saya bersama suami makan di sebuah KFC di bandaraya. Kelihatan seorang anak muda sedang sibuk memberi arahan kepada staf-stafnya yang sedang bekerja. Nampak segak dan kemas dalam seragam Pengurus Cawangan KFC. Bila beliau berpaling ketika saya sedang beratur untuk memesan makanan, kami terpandang antara satu sama lain. Eh, Robin! Saya begitu terkejut melihat Robin di situ.Alhamdulillah beliau masih mengenali saya. 

Saya begitu teruja dapat bertemu Robin disitu. Saya fikir, tiada lagi adik-adik insititusi akan saya temui lantaran tidak pasti hala tuju mereka ketika itu. Namun, Alhamdulillah. Tuhan mengurniakan rezeki kepada Robin untuk berjaya. Walaupun beberapa tahun di tempatkan di sana, kehidupan tidak sempurna. Di caci oleh orang di luar. Tertekan. Hidup tanpa keluarga. Berdepan dengan dugaan di insititusi.

Bagi seorang pesalah juvana, di terima untuk bekerja merupakan satu anugerah yang amat hebat untuk mereka. 

Saya menyeru masyarakat di luar sana, bantulah diri anda untuk mengubah persepsi, menerima perubahan dan berilah sokongan kepada mereka, jika anda menemui bekas pesalah juvana mahupun banduan di luar sana.

Penerimaa kita terhadap mereka, mampu mengelakkan mereka terjebak buat kali kedua. Acceptance!

Akhir kalam, marilah kita sama berdoa semoga Robin terus berjaya dalam kehidupan beliau.

Salam Hormat.

Tuesday 10 December 2013

Firdaus - Setia Seorang Anak Angkat

Teks : Adillah binti Ismail

Saya bertamu ke rumah kak Nuris di Johor Baharu ketika pulang ke kampung sebelah suami bagi menghantar beras fidyah kepada rumah kebajikan yang diusahakannya secara persendirian.

Di rumah ini saya diperkenalkan dengan 'anak baru' beliau, Firdaus. Saya tidak hairan dengan kak Nuris yang mempunyai ramai anak yang dibela olehnya kerana kak Nuris ini orang yang mulia hatinya. Menjadi tempat insan-insan kurang bernasib baik berlindung.

Firdaus seorang anak yatim yang tidak cukup kasih sayang seperti kanak-kanak lain. Umurnya sekitar 8-9 tahun. Firdaus merupakan anak angkat kepada pasangan mualaf. Bapa angkatnya seorang mualaf cina. Manakala ibu angkatnya berasal dari Indonesia. Mereka berkahwin di usia yang lewat. Bagaimana kehadiran Firdaus? Menurut cerita kak Nuris, ketika masih dalam hari, Firdaus dihantar ibu kandungnya, juga seorang gadis Indonesia di depan pondok pasangan mualaf tadi. Kehidupan mereka susah tetapi bahagia bersama ibu dan ayah angkatnya. Baru dibela 6 tahun, ayah angkatnya pula meninggal.

Sejak itu Firdaus tinggal bersama ibu angkat yang tiada pekerjaan. Mereka menumpang hidup di sebuah pondok nursery (yang layak digelar stor) kepunyaan seorang taukeh cina. Pondok ini langsung tidak mempunyai kelengkapan rumah. Selepas 2 tahun ayah angkatnya meninggal, ibu angkatnya pula menderita penyakit ketumbuhan dalam otak. Sejurus selepas pembedahan, ibunya terus lumpuh dan tidak boleh bercakap lagi. Hanya terlantar di katil dengan mengharap adik Firdaus ini yang menjaga ibunya. 

Rutin Firdaus pulang dari sekolah, beliau akan menemani ibunya. Firdaus akan menyediakan makanan buat ibunya. Mi Maggi yang dicurahkan air panas. Itulah sahaja makanan buat mereka bagi mengisi perut. Setelah mi maggi disediakan, Firdaus yang akan menyuapkan ibunya makan. Setiap hari. Jika Firdaus tiada, ibunya akan menunggu dalam kelaparan. Itulah dunia seorang anak kecil bernama Firdaus. Sekolah dan ibu.

Pengalaman hidup Firdaus begitu menyentuh hati. Dia tidak dapat dijaga dengan sempurna dan terabai lantaran ayah angkat telah meninggal dunia dan ibu angkatnya juga lumpuh kerana sakit. Tiada panduan dalam cara hidup orang Islam. Firdaus bersekolah di sebuah sekolah Cina sekitar Johor Baharu. Beliau didaftarkan beragama Budhha oleh pihak sekolah tersebut. Saya tidak menyalahkan pihak sekolah. Mereka juga tiada niat untuk melakukan itu, tetapi mungkin ia bagi memudahkan urusan membantu Firdaus. Kebetulan dengan latar belakang anak ini yang amat mengelirukan. Kak Nuris sendiri melihat buku pendaftaran sekolah anak ini yang tercatat Firdaus beragama Budhha.

Keluarga ini mendapat banyak bantuan dari persatuan Cina. Namun pastinya ia bermusim. Walaupun bantuan diterima, namun tiada siapa yang mahu mengambil tanggungjawab membela Firdaus dan ibunya yang lumpuh ini. Akhir-akhir sebelum mereka ditemui Kak Nuris, mereka baru menerima bantuan dari Baitulmal sebanyak RM250 sebulan. Kes ini mungkin baru ditemui oleh pihak jabatan agama.

Kak Nuris mengambil keputusan untuk memelihara adik Firdaus dan ibunya. Bagi menyelamatkan akidah mereka serta memberikan penempatan dan pendidikan yang lebih baik.

Setelah tinggal bersama kak Nuris, adik Firdaus di sekolahkan di sekolah kebangsaan. Namun tidak nampak perkembangannya memandangkan beliau bersekolah di aliran Bahasa Cina serta banyak ketinggalan dalam pelajaran. Oleh itu kak Nuris telah memindahkan Firdaus ke sebuah pusat tahfiz. Kak Nuris akan menjemput Firdaus ketika musim cuti sekolah dan beliau sedang mengasuh Firdaus untuk berdikari. 

Alhamdulillah kini Firdaus sudah boleh mengaji dan bersolat.

Kita doakan Firdaus menjadi insan yang berguna kepada agama dan bangsa. Walaupun latar belakangnya tidak semolek anak-anak lain namun itu bukanlah faktor penentu kejayaan hidup kerana Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang telah direncanakannya.

Dimana ibu Firdaus? Inshaallah akan saya ceritakan dalam entri akan datang, tentang perjuangan dan pengorbanan kak Nuris. Seorang wanita biasa-biasa yang perjuangannya luar biasa.

Semoga Allah juga mengurniakan peluang yang sama kepada kita semua untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti peluang yang diterima oleh kak Nuris.

Salam hormat





Ibu Ahmad Ammar - Sunnah Orang Berjuang

Teks : Adillah binti Ismail

Ramai yang bertanya, bagaimana Puan Azlina mendidik anak beliau Ahmad Ammar sehingga menjadi seorang pemuda yang begitu hebat. Diangkat namanya sebegitu rupa setelah pemergian beliau. Kita semua bercita-cita untuk memberi pendidikan yang sama seperti apa yang Puan Azlina lakukan. Semua bertanya formula tetapi ia sebenarnya bermula dari ibu itu sendiri. Dari ibu itu. Dari apa yang ibu dan ayah Ahmad Ammar telah lakukan.
Baru-baru ini saya bertemu dengan ibu rakan Ammar yang sama belajar di Turki. Saya panggil adik ini Budin dan ibunya, Kak Dib. Budin dan Ammar ke Turki mengikuti program yang sama. Pergi bertiga tetapi hanya tinggal berdua sahaja di Madrasah tersebut. Kehadiran kak Dib, saya ambil peluang untuk bertanya tentang Puan Azlina.
Puan Azlina sebenarnya bukanlah calang-calang orang. Kelihatan biasa-biasa tetapi orangnya luar biasa. Berpendidikan tinggi. Namun meninggalkan semua kesenangan untuk perjuangan ummat, bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama suami beliau, ayah Ahmad Ammar, Hj Ahmad Azam.
Menginfaqkan diri untuk tugas demi agama tercinta. Tanpa pendapatan tetap. Hj Ahmad Azam juga demikian. Tidak pernah bekerja makan gaji, berpendapatan tetap. Bekerja dengan ABIM. Namun jaringan antarabangsa mereka, amat hebat.Semuanya demi perjuangan agama tercinta.  Jerit payah, fitnah dan dugaan, semuanya dihadapi dengan sabar dan tabah.
Mereka tidak kaya. Tetapi tidak pernah susah. Bagaimana mereka survive? hanya Allah yang Maha Mengetahui kerana Dia yang memberi rezeki. Semua kesusahan dismpan dalam hati sebagaimana kesedihana yang disimpan kerana pemergian Ammar.
Puan Azlina menginfaqkan diri untuk kerja-kerja kebajikan. Berusaha mengusahakan sebuah sekolah demi pendidikan anak-anak pelarian Rohingya. Satu ketika dulu mengusahakan kelas Bahasa Inggeris untuk anak kurang kemampuan. Tanpa apa yang kita panggil gaji.
Pn Azlina duduk bersama ibu mertua, 20 tahun lamanya. Sentiasa memuji kebaikan ibu mertua. Baginya ibu mertua tersebut yang baik kepadanya bukan kerana beliau yang sabar.
 Bagi saya, apa yang ada pada Ammar, ia adalah didikan sepanjang hayat Ammar. Bukan melalui kata-kata semata tetapi apa yang Allahyarham sudah lalui bersama kedua ibu bapanya. Hidup terlalu sederhana namun Allah sentiasa membantu kerana mereka meninggalkan kesenangan dan masa rehat mereka untuk membantu agama Allah.
Kecekalan beliau terbentuk dari azam untuk membantu agama Allah. Maka Allah kurniakan penyejuk mata dan hati, sebaik Ahmad Ammar.
Sesungguhnya janji Allah itu pasti, sungguh pasti.
Rezeki itu bukanlah duit ringgit semata....ia melangkaui batas akal manusia. Bagi mereka yang mahu
memikirkannya.

Saya dedikasikan lagu ini untuk Ibu dan Ayah Ahmad Ammar yang amat saya hormati...

Sunnah Orang Berjuang -  Hijjaz
Berjuang menempah susah
Menanggung derita menungkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah menagih bina
Namun jiwa tetap mara memburu cinta
Membara demi Allah dan rasulnya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa airmata
Siangnya bagaikan sinar dirimba
Memerah keringat mencurah tenaga

Sudah sunnah
Berjuang ke jalan Allah

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yg perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yg ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan
Dunia yg fana atau syurga

Copyright

Copyright