Sunday 22 December 2013

Sepinggan Nasi Di Rumah Mantan Menteri

Teks : Adillah Ismail

Di negeri Sarawak, ia mempunyai kabinet tersendiri. Kabinet Negeri Sarawak ini diketuai oleh Ketua Menteri, Menteri Kanan, Menteri dan Menteri Muda. 

Saya mengenali seorang mantan menteri wanita di negeri ini iaitu Datuk HH. Datuk HH, pernah menjawat jawatan menteri penuh dalam kabinet Sarawak satu ketika dulu. Sekitar tahun 1980-an.

Saya berkenalan dengan beliau setelah diperkenalkan oleh rakan baik saya, Dr Nurul Sya'adah Hasan. Ketika itu saya masih bergelar pelajar sebuah universiti tempatan pada tahun 2001. Sejak diperkenalkan oleh Dr Nurul, saya sering ke rumah Datuk HH yang saya panggil Nekwa. Sungguh saya berterima kasih kepada sahabat saya kerana memperkenalkan saya kepada Datuk HH.

Masa berlalu, sehingga saya mendirikan rumahtangga. Rutin menziarahi beliau terus berjalan kerana beliau sudah saya anggap sebagai keluarga di sini memandangkan kami orang merantau. Untuk pulang ke kampung dengan kerap, adalah mustahil. Oleh itu kami tukarkan ia dengan menziarahi Nekwa. Ia berterusan hingga kini.

Saya ingin berkongsi satu kebaikan beliau dengan kalian. Sepanjang mengenali beliau, saya tidak pernah balik dari rumah tersebut tanpa makan nasi. Sekejap atau lama, pasti makan nasi. Beliau akan memastikan hampir setiap tetamunya malahan anak-anak buah yang membantunya mesti makan nasi apabila singgah ke rumah beliau. Boleh saya katakan,hampir tidak pernah saya melihat rumahnya tiada nasi. Lauknya, lauk rakyat biasa. Tidak hidup bermewah-mewah. Kami, mereka dan beliau akan makan lauk yang sama walaupun mungkin beliau jauh lebih mampu untuk makan makanan yang lebih mewah. Tapi itulah yang memikat selera!Adakalanya, beliau sendiri membantu menyediakan juadah. Saya paling gemar masakan beliau, ayam masak cili kongkang. Lucu bunyinya tapi rasanya amat lazat sekali. Itu specialities beliau. Ia akan dimasak oleh beliau sendiri apabila anak-anaknya yang menetap di Semenanjung akan pulang ke rumahnya di Kuching.

Jika ziarah kami kali tersebut, beliau berpergian, pasti dipesan kepada pembantu rumahnya agar sebelum kami pulang, harus dihidang nasi.  Kami tidak boleh balik selagi tidak menjamah nasi. Nekwa juga bertuah kerana pembantunya amat cekap memasak. Sesuai dengan selera semua.

Kebaikan ini meresap ke dalam hati saya. walaupun topik hari ini hanya bercerita mengenai kisah sepinggan nasi. Sungguh saya terkesan dengan kebaikan tersebut. Walaupun kami tidak pernah mengenali beliau ketika menjadi menteri dahulu namun dari caranya, beliau amat teliti dalam setiap apa yang dilakukan. Sehingga berada di meja makan.

Tidak hairanlah beliau terus dikelilingi oleh mereka-mereka yang setia kepadanya. Bukan kerana pangkat, wang dan harta kerana zaman itu telah lama berlalu. Tetapi kerana kebaikan hatinya tanpa melihat siapa sahaja yang menjadi tetamu di rumahnya. Beliau bukan lagi seorang menteri tetapi saya melihat beliau terus dibantu oleh insan-insan yang setia.

Kisah ini mungkin ringkas. Namun apa yang ingin saya sampaikan adalah, untuk berbuat baik itu tidaklah susah. Setinggi mana pun pangkat seseorang itu, apabila dia memuliakan tetamu, kedudukannya jauh lebih tinggi dari pangkat yang disandang. 

Marilah kita bersama memuliaka tetamu seperti pesan Rasulullah s.a.w ini.

Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
وَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَ الْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ وَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَ الْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaknya memuliakan tetangganya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaknya memuliakan tamunya.” (Muttafaqun ‘Alaihi, dari shahabat Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu)

Salam Hormat

No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright