Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts

Tuesday, 1 July 2014

Panduan dan Etika Untuk Whatsapp

Teks : Adillah Ismail

Panduan ini di tulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Saya alami, saya kaji  dan saya perhati. Dari situ, lahirlah idea untuk saya berkongsi di blog, panduan dan etika bagi semua terutama dalam mengendalikan atau menjadi admin untuk grup whatsapp.

Sejak akhir-akhir ini begitu banyak grup-grup whatsapp di tubuhkan kerana ia bersifat percuma dan tidak perlu ada sistem kebenaran (approve) dan sebagainya. Cukup ada seorang admin dan admin hanya perlu menambah nombor-nombor telefon rakan-rakan atau individu lain untuk menjadikan ia sebuah kumpulan komunikasi maya.

Ada kebaikan dan banyak juga sisi negatif yang perlu kita renungi. Adakalanya ada di antara ahli yang kita masukkan dalam kumpulan 'left group' secara tiba-tiba. Bagi yang mengenali, akan tertanya-tanya faktor si dia berbuat demikian. Ada juga rakan-rakan saya yang membuat pengumuman secara rasmi di laman FB masing-masing agar tidak memasukkan nama mereka dalam mana-mana grup whatsapp tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Saya sendiri merupakan grup admin kepada sebuah kumpulan yang ada diantaranya tidak mengenali satu sama lain. Jadi disitu saya harus berfungsi dengan berkesan. Saya banyak belajar dari sini.


Bersama ini saya sertakan panduan berkenaan. Semoga ia boleh membantu pembaca yang mungkin baru bercadang untuk menubuhkan grup whatsapp atau baru saja install aplikasi ini.


Kenalpasti kumpulan yang diwujudkan adalah kumpulan yang mempunyai minat atau pengetahuan yang sama. Contohnya, kumpulan majlis ilmu yang sama, kumpulan rakan-rakan sekolah yang lama, kumpulan persatuan dan sebagainya,

Tidak memasukkan mana-mana individu yang tidak berkaitan atau langsung tidak mengenali yang lain.

Minta izin tuan punya diri sebelum nama mereka dimasukkan ke dalam grup berkenaan

Perkenalkan semua ahli kumpulan ketika grup ditubuhkan. Jika ada ahli kumpulan yang dimasukkan kemudian, perkenalkan juga agar semua ahli mengetahui siapakah rakan baru itu. Maklumkan juga tujuan penubuhan grup. Adakalanya, mereka yang dimasukkan tidak biasa dengan grup whatsapp kerana mungkin beliau orang yang senior, kurang menggunakan gajet atau tidak mempunyai pengalaman berada dalam mana-mana grup whatsapp sebelum ini. Jika ada ahli baru yang dimasukkan, 'tegur-tegurlah' mereka. Ucapkan selamat datang dan sebagainya.

Jangan jadikan ruang grup untuk berbual-bual antara 2 atau 3 orang jika ia hanya khusus kepada isu yang sedang berkomunikasi sahaja mengetahui. Ia sangat menganggu rakan-rakan lain dengan bunyi notification tanpa henti serta menyebabkan bateri telefon mudah habis

Tidak menimbulkan isu sensitif terutama jika ada ahli kumpulan terkait dengan perkara berkenaan. Walaupun di alam maya, sila jaga air muka dan maruah pihak lain.

Sebaiknya jika anda tidak suka berada dalam kumpulan berkenaan, sila maklumkan kepada admin dan mohon diri di 'remove'. Bukan 'left group'. Namun jika kurang selesa untuk memaklumkan, ' left group' adalah pilihan yang wajar.

Lihat tujuan utama penubuhan grup. Saya yakin, setiap penubuhan grup adalah untuk berbincang dan berbual-bual secara santai dengan ahli kumpulan yang dikenali. Oleh itu kurangkan berkongsi gambar-gambar yang di forward dari rakan lain mahupun gambar yang tidak begitu berkaitan. Ia terlalu menganggu memori gajet masing-masing. Berkongsilah seadanya dan sewajarnya.

Berikan nama grup whatsapp nama yang jelas dan mudah di fahami,

Sebagai admin, tutup grup jika ia sudah tidak aktif dan tidak berfungsi lagi. Ia adalah tanggungjawab seorang admin. Walaupun ia bukan rasmi tetapi kita juga bertanggungjawab terhadap grup yang ditubuhkan.


Dunia hari ini memang menarik dan unik. Tidak bersua tetapi boleh mesra walaupun hanya di dalam grup whatsapp. Bertahun tidak berjumpa tetapi boleh 'ketawa'di whatsapp dengan imej-imej yang comel. Begitulah keadaan dunia masa kini. Sesuatu yang mungkin kita tidak terfikir ia boleh menjadi realiti pada hari ini.

Bagi yang sentiasa berkepit dengan gajet, pandai-pandailah atur masa kita. Jangan keterlaluan melayani mesej di whatsapp hingga lalai dalam urusan seharian. Tidak semua harus anda layani pada masa mesej di terima. Berpada-padalah uruskan masa dengan terhormat.

Salam Hormat




Sunday, 20 April 2014

MENULIS ATAU MENGHIRIS?

Teks : Adillah bt Ismail

Di Facebook, kita menulis atau menghiris hati orang lain?
Facebook merupakan medium yang lebih popular berbanding media sosial lain kerana ia wujud lebih awal. Mereka yang kurang mahir dengan gajet juga semakin ramai yang sudah membuka akaun FB sendiri. Mungkin kerana ia lebih mudah dikendali berbanding media sosial yang lain.
Namun, sejak akhir-akhir ini pemilik akaun FB rata-ratanya gemar menulis sesuatu yang lahir dari hati secara spontan. Tidak berfikir berkali-kali samada apa yang di kongsikan di alama maya itu wajar atau tidak di kongsikan dengan pembaca atau rakan yang lain.
Jika di tegur, ramai yang melenting. Semua akan mengatakan bahawa, itu adalah 'rumahnya', biarlah dia berbuat apa sahaja. Namun kita lupa,  kita hidup bermasyarakat. Walaupun masyarakat alam maya. Ada yang membaca status kita. Orang yang kita tuju atau orang yang sekadar membaca apa yang kita tulis.
Jika benar, ia rumah kita dan orang lain tidak perlu mengambil kisah tentang apa yang di tulis, lebih wajar kita tiada mempunyai senarai kawan-kawan. Itu baru boleh diterima akal.
 
Saya yakin, ramai yang pernah terguris hati dengan kata-kata rakan di FB. Keadaannya ialah apabila insan-insan ini ingin menyatakan rasa tidak puas hati namun tidak mahu menzahirkan berdepan. Lalu ia di zahirkan di ruang status FB masing-masing. Membiarkan khalayak yang membacanya bertanya - eh, kau marah pada siapa, kau merajuk dengan siapa, siapa yang buat awak terasa atau kecewa. 
Kerap kali saya mendengar mereka yang meluah di FB akan berkata - saya tidak tuju pada sesiapa, siapa makan cili terasalah pedasnya. Adakah benar ia tidak dituju pada sesiapa? Hati anda menjawabnya bagaimana....tanyalah hati. Jawapan yang anda dan Allah sahaja mengetahui.

Kadangkala ada yang menggunakan poster atau kata-kata hikmah juga ayat Al Quran dan hadis bagi menyokong tindakan dan dirinya. Beliau mahu menyatakan sesuatu kepada orang lain namun menggunakan status secara umum. Saya kira keadaan ini juga tidak mengundang kebaikan malahan jika ada yang tersalah sangka, silaturrahim menjadi hambar dek kerana posting baik-baik namun berbisa. Kerana ia di tulis dengan bertujuan.

Kita ada prinsip. Bertemulah atau tegurlah di dalam mesej peribadi, yang saya kira, itulah tindakan orang berani dan berwibawa. Bukan menyindir di alam maya dengan niat yang tertentu.
Allah mengizinkan FB wujud di duia pada masa kini bukan untuk kita bermusuhan, menyakiti hati teman-teman. Fikirlah secara bijak dengan hati yang baik.
Pernah saya terasa ingin menegur satu status, beliau menyuruh orang lain diam jika tidak tahu apa-apa tentang sesuatu isu, namun jarinya sendiri tidak dapat diam dari mengeluarkan status yang kurang baik pada pengamatan saya. 'Diam' itu, bukan sekadar mulut...jari juga - perlu diam...fenomena hari ini...

Saya lihat, personaliti-personaliti juga ahli-ahli politik juga tidak terlepas dari budaya yang tidak sihat ini. Sekadar menyebut dua situasi hangat, pemergian Mendiang Karpal Singh dan isu Ustaz Don. Untuk mendiang Karpal, saya terkejut dengan status seorang MP Langkawi yang beragama Islam yang begitu tidak sensitif dengan kematian. Lupakanlah yang meninggal itu siapa, cukuplah kita meletakkan hati kita di tempat isteri, anak-anak dan ahli keluarga mereka yang telah pergi. Kematian mengejut seperti itu memerlukan sokongan, bukan sindiran, bukan gurauan yang tidak beradab. Syukur, beliau telah memohon maaf. Ustaz Don pula, sebaiknya jangan terus kita berdebat di medan FB, ia tidak membawa kemana-mana. Ia menghiris hati. Jika tidak berpuas hati, berjumpa dengan Ustaz Don sendiri, atau tulislah surat kepada pihak sewajarnya.

Namun saya bersyukur, dalam ramai-ramai rakan saya di FB, ada beberapa orang amat saya kagumi perkongsian mereka. Saya amat bertuah berada dalam kumpulan Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) seperti guru online saya, Nisa Nua, pengasas ABDR, Puan Masayu Ahmad, rakan-rakan lain seperti Aishah Hussin, Anys Idayu, Ain Akib, Hayati Shahdan, Azlina Zabha (sekadar menyebut beberapa nama yang status mereka kerap keluar di wall saya) Mereka begitu profesional apabila mengupdate status FB. Tiada melahirkan rasa marah, tidak suka kepada mana-mana individu. Berkongsi kisah yang baik-baik dan sedap di baca. Semua status dipelihara kerana saya yakin, kata-kata yang baik adalah punca rezeki hidup kita.

Antaranya rakan lain yang rajin mengemaskini status yang bersumber fakta yang baik ialah, Puan Fadhlina Sidek, seorang peguan syariah dan merupakan Timbalan Presiden (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Dari status beliau saya tahu sikit-sikit maklumat perundangan,  berita terkini dalam negara mahupun luar negara juga perkongsian bermanfaat yang lain.


Apa yang kita tulis di FB sebenarnya bukan sekadar perkongsian biasa... jika kita perhalusi, dalam kotak putih di atas sekali di wall kita tertulis  - WHAT'S ON YOUR MIND.. fikir-fikirkanlah. Ia menggambarkan fikiran dan hati kita. Bukankah apa yang di fikiran, ia bersangkutan dengan hati? Jangan sesekali niat dihati, mengemaskini status untuk 'sidia' membaca status anda yang sememangnya dituju buat sidia. Semoga kita memelihara ukhuwah fillah kurniaan Allah untuk kita. Pilihlah, menulis atau menghiris....
Wallahualam.

Terima kasih kerana membaca entri ini
Salam Hormat


Saturday, 15 March 2014

Kejiranan Bukan Melayu, Satu Pengalaman Istimewa

Teks : Adillah Ismail

Saya dan keluarga tidak duduk di dalam zon selesa. Maksud saya dalam konteks kejiranan. Rata-rata jiran kami bukan Melayu dan majoritinya berbangsa Cina, beragama Budhha dan Kristian. Tapi saya merasai keharmoniannya walaupun kami adalah satu-satunya keluarga Melayu beragama Islam di perumahan ini.

Ramai sahabat kehairanan kami membeli rumah di kawasan ini kerana katanya 'ia bukan kawasan Melayu'. Saya tidak mengerti akan makna kata-kata berkenaan. Tapi mungkin jua buat-buat tidak mengerti. Tertanya-tanya juga, tidak baikkah atau tidak selamatkah duduk di lingkungan bukan Melayu? Saya maklum akan kebaikan di lingkungan kejiranan Melayu, penting apabila berkenduri kendara, kematian dan sebagainya.

Kami memohon pada Allah ketika membuat keputusan  membeli rumah ini 7 tahun lalu agar ia adalah pilihan Allah untuk kami diam di sini. Ketika itu kami tidak tahu pun bahawa hanya kami sahaja orang Melayu di perumahan ini. Keputusan kami ketika itu bersandarkan kepada 3 perkara utama - dekat dengan masjid - 4 minit sahaja (ia masjid sebuah kem askar yang berdekatan), lapangan terbang - 8 minit (jika tertinggal barang di rumah, baik kami mahupun tetamu yang bertandang, boleh berpatah balik), dan 20 minit dari tempat kerja kami. 

Tahun berganti, baru kami tahu, kejiranan kami bukan kelompok orang Melayu. Kerana jiran-jiran tidak berpindah serentak. Perumahan terdekat juga boleh dibilang dengan jari orang Melayunya.

Namun, alhamdulillah, rumah ini sangat selesa kami diami, harga berpatutan, kemasan rumah juga menjadi perhatian rakan taulan. Ramai kehairanan dengan harga rumah berbanding buatan rumah ini.

Saya sifatkan keluarga kami tidak berada di zon selesa. Namun kami cuba membuatkan suasana jadi selesa untuk kami sekeluarga. Agar hubungan sesama jiran Cina dan bumiputera yang lain mesra. Rumah depan, kiri dan kanan adalah berbangsa Cina. Tidak sebangsa juga agama namun dengan merekalah kami mohon pelbagai pertolongan. Mereka juga akan menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan masa.

Jika suami tiada di rumah, berlaku kes kecemasan, merekalah yang membantu saya dan keluarga.

Beberapa kali sudah terjadi. Perkara begini menjadikan kami lebih saling hormat menghormati.

Kawasan rumah juga banyak anjing berkeliaran, mungkin kerana faktor berkenaan. Namun Alhamdulillah, anjing-anjing ini tidak pernah menganggu rumah kami. Malahan ibarat menjadi pengawal tidak bergaji untuk perumahan kami.

Apabila media dan orang politik memainkan isu hubungan antara kaum, tidak di nafikan hati agak gusar kerana kami tahu mereka membaca akhbar Cina yang setiap hari laporannya lebih berani. Tetapi alhamdulillah, hubungan kami tidak terjejas. Yang penting, kami perlu tunjukkan contoh yang lebih baik, demi agama Islam, kerana kami khalifah Allah, wakil hamba Allah yang lain di ruang ini.

Bila tiba Tahun Baru Cina, saya pastikan kami menempah kek untuk jiran-jiran sebagai tanda ucap terima kasih kerana membantu kami tanpa syarat. Walaupun ada pelbagai pendapat, namun kami luangkan juga masa menziarahi jiran terdekat apabila tiba sambutan Tahun Baru Cina. Mereka akan pastikan juadah itu 'halal'. Yang tidak halal untuk dimakan dan diminum segera di ketepikan. Kami hormat apa yang dihidang dan memahami keadaan yang Allah tentukan ini. 

Hari Raya Aidilfitri juga kami tidak kesunyian, pasti ada buah tangan untuk kami bawa pulang ke kampung halaman. Tiba musim durian, uncle sebelah lebih awal berkongsi buah durian bersama kami.

Doa saya untuk mereka, semoga ada di antara jiran saya yang akan mengetuk pintu rumah kami satu hari nanti, bertanyakan tentang Islam yang kita sanjungi. Bila dan bagaimana, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Amiin...

Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat


Thursday, 27 February 2014

PANDUAN MELAKUKAN KERJA AMAL BERSAMA KELUARGA

Teks : Adillah Ismail

Mendidik hati menjadi insan yang lebih baik adakalanya memerlukan satu perjalanan yang sangat panjang dalam hidup. Kehidupan yang kita lalui sebenarnya bukan untuk diri kita sahaja. Bukan hanya kita sahaja mahu agar kebaikan itu hadir ke dalam hidup. Namun kita mengharapkan agar seluruh ahli keluarga di anugerahkan oleh Allah sama rata. Kerana bahagia, rasa tenang dan cukup itu tidak bermakna untuk dinikmati seorang diri.

Erti hidup pada memberi -  itu adalah kata-kata manis dan mendalam pengertiannya yang saya pinjam dari ustaz Hasrizal Abd Jamil. Benar kata beliau, jika mahu banyak menerima, berilah sebanyak mana, tanpa berkira.

Baru-baru ini terbaca post rakan Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR), Yati Shahadan di facebook. Mulia sungguh hati beliau yang mahu memikirkan bagaimana untuk buat kerja amal bersama keluarganya tetapi tidak terfikir bagaimana. Post beliau, menjentik rasa saya untuk berkongsi sedikit pengalaman yang saya lalui. Saya berharap, berkongsian ini boleh menjadi asas panduan kepada teman-teman untuk melakukan kerja amal bersama keluarga.

Ada antara kita gemar berorganisasi, maka kita akan turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan oleh organisasi yang kita sertai. Namun, adakalanya kita terlupa bahawa, ada baiknya suami dan anak-anak juga kita bawa bersama. Ada juga yang mungkin tidak tahu bahawa kerja amal sebegini boleh kita lakukan bersama ahli keluarga kita. Melakukan kerja amal tidak semestinya wajib di bawah mana-mana persatuan. Anda boleh lakukan sendiri. Kreativiti dari diri anda. Banyak sebenarnya yang boleh anda lakukan. 

Panduan yang saya kongsikan di sini, mungkin boleh mengembangkan lagi idea teman-teman untuk melakukan tugas kebajikan ini.

1. Mulakan ziarah keluarga anda di institusi kebajikan yang diusahakan oleh badan persendirian, persatuan, yayasan atau milik individu. Hubungi dahulu mereka sebelum datang. Mungkin ada waktu tertentu yang mereka tetapkan. Bagi lawatan ke pusat penempatan orang tua, adakalanya ia waktu rehat, jadi mungkin tidak berkesempatan bertemu penghuni. Mungkin juga kadangkala jika mereka tidak cukup sukarelawan/staf untuk bertugas, maka dibimbangi ziarah anda nanti menyebabkan suasana agak kelam kabut. Sebaiknya hubungi dahulu. Beritahu tujuan.

2. Bawa bersama anda beberapa kampit beras sebagai pembuka bicara. Boleh bawa untuk bayar fidyah atau sedekah. Tidak perlu bawa terlalu banyak untuk 'sapaan' pertama ini. Cukup apa yang anda mampu. Contohnya 3 kampit. Saya cadangkan beras kerana keperluan ini sangat penting memandangkan bagi pusat yang penghuninya ramai, kadangkala memerlukan belanja untuk beras dan makanan lain agak tinggi.

3. Bawa duit kecil atau gula-gula. Elakkan makanan ringan seperti keropok. Gula-gula sudah memadai. Letak sahaja di dalam poket. Beri apabila berjumpa dengan penghuninya. Namun jika mahu ia dibungkus cantik-cantik, tiada salahnya. Cuma jika ia tidak mencukupi, bimbang ada penghuni yang merajuk :). Biasanya penghuni di pusat kebajikan agak sensitif. Oleh itu, dapatkan jumlah mereka (jika perlu). Cuma cadangan saya, jadikan ia ziarah yang santai. Agar kita rasa mudah dan tidak perlu mengambil masa dan tenaga untuk aktiviti pembungkusan yang mungkin akan menyebabkan jumlah sampah bertambah di pusat.

4. Ada sesetengah penghuni pusat menjual barang-barang seperti hasil kreativiti dan tanam tanaman. Beli hasil jualan mereka untuk membantu menceriakan mereka. Ada hasil jualan untuk duit poket penghuni sendiri dan ada juga untuk menambah tabung pusat kebajikan.Ia satu kegembiraan buat mereka. Hasilnya dituai!

4. Dalam ziarah teman-teman nanti, ajak ahli keluarga duduk-duduk sebentar bersama penghuni. Ajak anak-anak bersalam dan berbual-bual bersama. Kenalkan diri kita dan keluarga. Ada rezeki lebih, bawa kuih muih. Sambil berbual, sambil makan-makan.

5. Jika ada rezeki (selepas gaji, contohnya), tempah seperiuk nasi beriyani (atau menu lain) dan jamu penghuni untuk makan tengahari. Jika anda berada sekitar Bangi dan Kajang serta kawasan berdekatan, boleh tempah Nasi Maqlubah Palestin milik Shahrina Ahmad Sharkawi (click fb Shahrina untuk mengetahui perjuangan beliau) kakak sahabat saya. Jangan lupa, telefon dan maklumkan kepada pengurusan. Oleh itu, tukang masak pusat, boleh berehat seketika kerana juadah telah disediakan oleh anda. Saya cadangkan nasi beriyani (juga nasi maqlubah) kerana ia makanan istimewa bagi mereka. Mungkin jarang-jarang (atau tidak pernah) merasainya. Konsep ini boleh juga dilakukan di pusat tahfiz dan madrasah.

6. Perkara di atas bertujuan untuk membina rapport (hubungan baik) dengan pihak pengurusan atau tuan rumah. Apabila mereka sudah mengenali keluarga anda, keadaan akan jadi lebih mudah. Dari ziarah-ziarah awal seperti itu, secara perlahan-lahan kita akan faham dan boleh tahu serba sedikit di mana kita boleh bantu seterusnya.

7. Jika kita merasakan ziarah sudah konsisten (jika keluarga anda memilih sebuah pusat sahaja untuk diziarah), buatlah majlis sambutan hari jadi yang ringkas, untuk penghuni yang lahir pada bulan tersebut. Boleh juga sambut untuk 3 bulan sekali. Tiada salahnya. Ringkas sahaja persiapan. Bawa kek atau pulut kuning dan makanan sampingan untuk minum pagi atau minum petang. Jika mahu anak-anak 'contribute', agihkan tugas dekorasi di pusat itu untuk anak-anak. Pasti anak-anak merasa bahagia diberikan tanggungjawab tersebut. Namun, suka saya ingatkan, kita bawa pulang semua sampah-sampah itu sebaiknya. Bantu kemas semula. Kerana pusat begini amat kurang pekerja dan sukarelawan.

8. Melakukan kerja amal bersama keluarga lebih fleksibel sifatnya. Fleksibel masa, kenderaan dan aktiviti. Jika anda mahu, boleh jemput anak-anak saudara, keluarga yang lain untuk turut serta.

9. Dari ziarah ini, mungkin anda boleh mengetahui samada pusat tersebut memerlukan tenaga mengajar sukarela untuk mengaji, fardhu ain, kelas membaca, dan sebagainya. Dari situ networking akan terbina.

10. Cadangan aktivitidi bawah adalah secara umum. Teman-teman lihat kesesuaian kategori penghuni - orang tua/anak yatim/OKU dsbnya:

CADANGAN AKTIVITI
Berbual-bual
Sambutan hari jadi
Mengemas pusat
Menggunting rambut penghuni (jika pandai)
Memotong kuku penghuni
Mencuci bilik air dan longkang
Menyanyi
Bercerita
Membantu penghuni memakai tudung dengan kemas dan sempurna
Dan...kreativiti masing-masing - pengalaman akan mengayakan anda dengan idea

JANGAN LUPA UNTUK SENTIASA TERSENYUM


Jika boleh, elakkan perkara di bawah :

a) Datang pertama kali - untuk menghantar pakaian terpakai. Kurang manis. Setelah ziarah pertama diadakan, tanya pengurusan pusat, adakah mereka perlukan pakaian terpakai. Kerana adakalanya, mereka terlalu banyak menerima pakaian terpakai dan mungkin sebahagian besarnya hampir tidak boleh digunakan lagi. Cuba kurangkan menghantar pakaian terpakai kecuali di minta.

b) Elakkan terlalu excited pada peringkat awal dan kemudian tak mampu buat secara istiqamah. Mulakan secara sederhana. Seperti cadangan diatas, hantar beras dan ziarah penghuni.

c) Kurangkan soalan sensitif seperti - berapa lama menghuni, kejadian yang menyebabkan berada di situ, di mana ahli keluarga yang lain - jika mahu tanya juga, tanyalah secara perlahan-lahan dengan ayat yang terbaik.

d) Elakkan kunjungan yang terlalu 'rasmi' . Datanglah sebagai  ahli keluarga penghuni walaupun hakikatnya kita saling tidak mengenali dan mereka bukan darah daging kita.

Semoga panduan di atas boleh membantu teman-teman melakukan ziarah dan kerja amal anda bersama keluarga tersayang. Selamat beramal.

Saya sertakan bersama contoh-contoh pusat kebajikan yang boleh di lawati (sekadar yang saya tahu)

1. Rumah Persatuan Kebajikan Nur Ehsan,
Kempas, Johor (Puan Nuris - 016 7881379)

2. PSIAKU AZWAR

3. Rumah Sentuhan Budi
No. 76-A, Jalan 5/12 D,
Kg. Sri Batu, batu 4 1/2,
Jalan Ipoh
51110 Kuala Lumpur
016-3079287 (Pn. Nora Aziz)
4. Pertubuhan Nurkasih Malaysia
No.16-B, Jalan Camar 1,
Taman Perling 81200
Johor Bahru, JOHOR
Telefon/Fax : 07-2321352

5. Rumah Kanak-kanak Darul Aitam
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN
KOMPLEKS ISLAM DARULNAIM
15200 KOTA BHARU
KELANTAN
No. Telefon   :  09-7481512
No Faks        :  09-7485512

6. Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi
Kampung Teluk Ketapang,Seberang Takir,21300 Kuala Terengganu
Nombor telefon:09-6663231

7. PERTUBUHAN KEBAJIKAN YAYASAN ANAK YATIM PIATU DARUL AITAM
Kg. Haji Salleh, 35350 Temoh, Perak
Tel : 05 - 4199089
Fax: 05 - 4199089
(milik Allahyarham Ustaz Bushra - kini diusahakan oleh anak-anaknya)

*untuk kawasan Kuching, setakat ini belum ada yang persendirian. Semuanya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jika mahu beraktiviti, boleh tulis surat permohonan kepada Pengarah JKM Sarawak atau menghubungi institusi berkenaan.


Jika kamu berbuat baik, bererti kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri (Al Israa':7)
Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat

Saturday, 22 February 2014

KELAS PENGAJIAN AGAMA UNTUK SAUDARA KITA DI BAITUL IHTIMAM, KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

Teks : Adillah Ismail

Sahabat saya dan suami, Ustaz Wan Ariffin telah mewakafkan rumah beliau bagi digunakan untuk kegunaan sebagai tempat perlindungan sementara saudara kita yang memerlukan rumah untuk berlindung serta menjadi pusat pengajian agama untuk saudara kita (muallaf) yang baru atau sudah lama memeluk Islam

Kesediaan beliau mewakafkan rumah ini amat kami kagumi. Sebetulnya, kami dan beliau tidak saling mengenali. Namun atas dasar dakwah untuk saudara kita, Allah pertemukan kami. 

Alhamdulillah, setelah hampir setahun niat rumah berkenaan untuk dijadikan pusat bagi meningkatkan kefahaman saudara kita mengenai Islam kini kelas pengajian agama dan kelas membaca Al Quran berjalan dengan konsisten pada setiap hari Sabtu selepas solat Maghrib sehingga jam 9.30 malam.

Bagi saudara kita di sekitar Kota Samarahan juga kawasan yang berdekatan, di jemput hadir ke kuliah agama serta belajar teknik membaca Al Quran menggunakan teknik Al Barqy ini.

Saya dan suami akan membimbing bagi teknik belajar asas Al Quran menggunakan teknik Al Barqy. Manakala Ustaz Amir Ridhwan (seorang ustaz berbangsa Iban yang juga merupakan saudara kita) akan memberikan kuliah berdasarkan Buku Panduan Hidup Bersyariat.

Entri ini saya tulis bagi memudahkan pencarian bagi mana-mana individu saudara kita yang mungkin satu hari nanti, di sekitar Kota Samarahan mencari tempat untuk belajar agama.

Saya dan suami bukan ahli dalam bidang Al Quran, bukan juga hafiz atau hafizah. Bukan ustaz mahupun ustazah dalam bidang pengajian agama. Kami hanya membantu Ustaz Wan. Namun amat berharap, kami juga mereka, akan menjadikan Al Quran ini penyuluh sepanjang jalan kehidupan di muka bumi ini. Berharap juga peluang kami untuk menimba ilmu bertambah dengan lebih luas selepas ini. Saya yakin ini salah satu jalan yang telah Allah tentukan untuk kami menyumbang untuk agama. Agaknya ini faktor kami di tempatkan Allah berada di negeri yang bukan tanah kelahiran kami.
                                                                          Baitul Ihtimam

Hanya kami pohon dari Allah pengakhiran yang baik untuk kami apabila telah tiba saatnya. 
In Sha Allah.

Terima kasih kepada sahabat kami Ustaz Wan Ariffin yang telah Allah dorong hatinya untuk mewakafkan rumah sendiri bagi tujuan mulia ini. Hanya Allah yang mampu membalas pengorbanan wang ringgit yang telah beliau salurkan untuk tujuan ini.

Pertanyaan lanjut berkenaan Baitul Ihtimam boleh hubungi saya di talian 013 8302712.

Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat


Copyright

Copyright