Thursday 27 February 2014

PANDUAN MELAKUKAN KERJA AMAL BERSAMA KELUARGA

Teks : Adillah Ismail

Mendidik hati menjadi insan yang lebih baik adakalanya memerlukan satu perjalanan yang sangat panjang dalam hidup. Kehidupan yang kita lalui sebenarnya bukan untuk diri kita sahaja. Bukan hanya kita sahaja mahu agar kebaikan itu hadir ke dalam hidup. Namun kita mengharapkan agar seluruh ahli keluarga di anugerahkan oleh Allah sama rata. Kerana bahagia, rasa tenang dan cukup itu tidak bermakna untuk dinikmati seorang diri.

Erti hidup pada memberi -  itu adalah kata-kata manis dan mendalam pengertiannya yang saya pinjam dari ustaz Hasrizal Abd Jamil. Benar kata beliau, jika mahu banyak menerima, berilah sebanyak mana, tanpa berkira.

Baru-baru ini terbaca post rakan Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR), Yati Shahadan di facebook. Mulia sungguh hati beliau yang mahu memikirkan bagaimana untuk buat kerja amal bersama keluarganya tetapi tidak terfikir bagaimana. Post beliau, menjentik rasa saya untuk berkongsi sedikit pengalaman yang saya lalui. Saya berharap, berkongsian ini boleh menjadi asas panduan kepada teman-teman untuk melakukan kerja amal bersama keluarga.

Ada antara kita gemar berorganisasi, maka kita akan turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan oleh organisasi yang kita sertai. Namun, adakalanya kita terlupa bahawa, ada baiknya suami dan anak-anak juga kita bawa bersama. Ada juga yang mungkin tidak tahu bahawa kerja amal sebegini boleh kita lakukan bersama ahli keluarga kita. Melakukan kerja amal tidak semestinya wajib di bawah mana-mana persatuan. Anda boleh lakukan sendiri. Kreativiti dari diri anda. Banyak sebenarnya yang boleh anda lakukan. 

Panduan yang saya kongsikan di sini, mungkin boleh mengembangkan lagi idea teman-teman untuk melakukan tugas kebajikan ini.

1. Mulakan ziarah keluarga anda di institusi kebajikan yang diusahakan oleh badan persendirian, persatuan, yayasan atau milik individu. Hubungi dahulu mereka sebelum datang. Mungkin ada waktu tertentu yang mereka tetapkan. Bagi lawatan ke pusat penempatan orang tua, adakalanya ia waktu rehat, jadi mungkin tidak berkesempatan bertemu penghuni. Mungkin juga kadangkala jika mereka tidak cukup sukarelawan/staf untuk bertugas, maka dibimbangi ziarah anda nanti menyebabkan suasana agak kelam kabut. Sebaiknya hubungi dahulu. Beritahu tujuan.

2. Bawa bersama anda beberapa kampit beras sebagai pembuka bicara. Boleh bawa untuk bayar fidyah atau sedekah. Tidak perlu bawa terlalu banyak untuk 'sapaan' pertama ini. Cukup apa yang anda mampu. Contohnya 3 kampit. Saya cadangkan beras kerana keperluan ini sangat penting memandangkan bagi pusat yang penghuninya ramai, kadangkala memerlukan belanja untuk beras dan makanan lain agak tinggi.

3. Bawa duit kecil atau gula-gula. Elakkan makanan ringan seperti keropok. Gula-gula sudah memadai. Letak sahaja di dalam poket. Beri apabila berjumpa dengan penghuninya. Namun jika mahu ia dibungkus cantik-cantik, tiada salahnya. Cuma jika ia tidak mencukupi, bimbang ada penghuni yang merajuk :). Biasanya penghuni di pusat kebajikan agak sensitif. Oleh itu, dapatkan jumlah mereka (jika perlu). Cuma cadangan saya, jadikan ia ziarah yang santai. Agar kita rasa mudah dan tidak perlu mengambil masa dan tenaga untuk aktiviti pembungkusan yang mungkin akan menyebabkan jumlah sampah bertambah di pusat.

4. Ada sesetengah penghuni pusat menjual barang-barang seperti hasil kreativiti dan tanam tanaman. Beli hasil jualan mereka untuk membantu menceriakan mereka. Ada hasil jualan untuk duit poket penghuni sendiri dan ada juga untuk menambah tabung pusat kebajikan.Ia satu kegembiraan buat mereka. Hasilnya dituai!

4. Dalam ziarah teman-teman nanti, ajak ahli keluarga duduk-duduk sebentar bersama penghuni. Ajak anak-anak bersalam dan berbual-bual bersama. Kenalkan diri kita dan keluarga. Ada rezeki lebih, bawa kuih muih. Sambil berbual, sambil makan-makan.

5. Jika ada rezeki (selepas gaji, contohnya), tempah seperiuk nasi beriyani (atau menu lain) dan jamu penghuni untuk makan tengahari. Jika anda berada sekitar Bangi dan Kajang serta kawasan berdekatan, boleh tempah Nasi Maqlubah Palestin milik Shahrina Ahmad Sharkawi (click fb Shahrina untuk mengetahui perjuangan beliau) kakak sahabat saya. Jangan lupa, telefon dan maklumkan kepada pengurusan. Oleh itu, tukang masak pusat, boleh berehat seketika kerana juadah telah disediakan oleh anda. Saya cadangkan nasi beriyani (juga nasi maqlubah) kerana ia makanan istimewa bagi mereka. Mungkin jarang-jarang (atau tidak pernah) merasainya. Konsep ini boleh juga dilakukan di pusat tahfiz dan madrasah.

6. Perkara di atas bertujuan untuk membina rapport (hubungan baik) dengan pihak pengurusan atau tuan rumah. Apabila mereka sudah mengenali keluarga anda, keadaan akan jadi lebih mudah. Dari ziarah-ziarah awal seperti itu, secara perlahan-lahan kita akan faham dan boleh tahu serba sedikit di mana kita boleh bantu seterusnya.

7. Jika kita merasakan ziarah sudah konsisten (jika keluarga anda memilih sebuah pusat sahaja untuk diziarah), buatlah majlis sambutan hari jadi yang ringkas, untuk penghuni yang lahir pada bulan tersebut. Boleh juga sambut untuk 3 bulan sekali. Tiada salahnya. Ringkas sahaja persiapan. Bawa kek atau pulut kuning dan makanan sampingan untuk minum pagi atau minum petang. Jika mahu anak-anak 'contribute', agihkan tugas dekorasi di pusat itu untuk anak-anak. Pasti anak-anak merasa bahagia diberikan tanggungjawab tersebut. Namun, suka saya ingatkan, kita bawa pulang semua sampah-sampah itu sebaiknya. Bantu kemas semula. Kerana pusat begini amat kurang pekerja dan sukarelawan.

8. Melakukan kerja amal bersama keluarga lebih fleksibel sifatnya. Fleksibel masa, kenderaan dan aktiviti. Jika anda mahu, boleh jemput anak-anak saudara, keluarga yang lain untuk turut serta.

9. Dari ziarah ini, mungkin anda boleh mengetahui samada pusat tersebut memerlukan tenaga mengajar sukarela untuk mengaji, fardhu ain, kelas membaca, dan sebagainya. Dari situ networking akan terbina.

10. Cadangan aktivitidi bawah adalah secara umum. Teman-teman lihat kesesuaian kategori penghuni - orang tua/anak yatim/OKU dsbnya:

CADANGAN AKTIVITI
Berbual-bual
Sambutan hari jadi
Mengemas pusat
Menggunting rambut penghuni (jika pandai)
Memotong kuku penghuni
Mencuci bilik air dan longkang
Menyanyi
Bercerita
Membantu penghuni memakai tudung dengan kemas dan sempurna
Dan...kreativiti masing-masing - pengalaman akan mengayakan anda dengan idea

JANGAN LUPA UNTUK SENTIASA TERSENYUM


Jika boleh, elakkan perkara di bawah :

a) Datang pertama kali - untuk menghantar pakaian terpakai. Kurang manis. Setelah ziarah pertama diadakan, tanya pengurusan pusat, adakah mereka perlukan pakaian terpakai. Kerana adakalanya, mereka terlalu banyak menerima pakaian terpakai dan mungkin sebahagian besarnya hampir tidak boleh digunakan lagi. Cuba kurangkan menghantar pakaian terpakai kecuali di minta.

b) Elakkan terlalu excited pada peringkat awal dan kemudian tak mampu buat secara istiqamah. Mulakan secara sederhana. Seperti cadangan diatas, hantar beras dan ziarah penghuni.

c) Kurangkan soalan sensitif seperti - berapa lama menghuni, kejadian yang menyebabkan berada di situ, di mana ahli keluarga yang lain - jika mahu tanya juga, tanyalah secara perlahan-lahan dengan ayat yang terbaik.

d) Elakkan kunjungan yang terlalu 'rasmi' . Datanglah sebagai  ahli keluarga penghuni walaupun hakikatnya kita saling tidak mengenali dan mereka bukan darah daging kita.

Semoga panduan di atas boleh membantu teman-teman melakukan ziarah dan kerja amal anda bersama keluarga tersayang. Selamat beramal.

Saya sertakan bersama contoh-contoh pusat kebajikan yang boleh di lawati (sekadar yang saya tahu)

1. Rumah Persatuan Kebajikan Nur Ehsan,
Kempas, Johor (Puan Nuris - 016 7881379)

2. PSIAKU AZWAR

3. Rumah Sentuhan Budi
No. 76-A, Jalan 5/12 D,
Kg. Sri Batu, batu 4 1/2,
Jalan Ipoh
51110 Kuala Lumpur
016-3079287 (Pn. Nora Aziz)
4. Pertubuhan Nurkasih Malaysia
No.16-B, Jalan Camar 1,
Taman Perling 81200
Johor Bahru, JOHOR
Telefon/Fax : 07-2321352

5. Rumah Kanak-kanak Darul Aitam
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN
KOMPLEKS ISLAM DARULNAIM
15200 KOTA BHARU
KELANTAN
No. Telefon   :  09-7481512
No Faks        :  09-7485512

6. Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi
Kampung Teluk Ketapang,Seberang Takir,21300 Kuala Terengganu
Nombor telefon:09-6663231

7. PERTUBUHAN KEBAJIKAN YAYASAN ANAK YATIM PIATU DARUL AITAM
Kg. Haji Salleh, 35350 Temoh, Perak
Tel : 05 - 4199089
Fax: 05 - 4199089
(milik Allahyarham Ustaz Bushra - kini diusahakan oleh anak-anaknya)

*untuk kawasan Kuching, setakat ini belum ada yang persendirian. Semuanya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jika mahu beraktiviti, boleh tulis surat permohonan kepada Pengarah JKM Sarawak atau menghubungi institusi berkenaan.


Jika kamu berbuat baik, bererti kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri (Al Israa':7)
Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat

No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright