Tuesday 11 February 2014

Aplikasi Teknik Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan

Teks : Salinan dari WhatsApp

Whatsapp yang di terima pagi ini menarik hati saya untuk dikongsikan di sini.
Ia cerita ringkas pengalaman seorang Ustazah KAFA namun berkesan. Dukacita, saya tidak tahu siapa ustazah berkenaan. Namun saya sangat yakin ia kisah benar. Jika kita membaca kisah benar pengalaman seseorang, kita boleh menghayati dan menerima. Berbeza jika cerita itu rekaan semata. Semoga Ustazah KAFA yang berkongsi pengalaman dengan kita semua ini akan diberikan rahmat oleh Allah, di permudahkan segala urusan kepada beliau dalam menempuh kehidupan.
Saya salin semula di dalam blog untu k tatapan semua.
Semoga kita sama-sama mengambil manfaat. 
Ia sangat sesuai di aplikasikan ketika mengajar anak-anak kerana anak kita juga mungkin sama seperti anak murid di dalam kisah ini.

Ikuti kisahnya...

Aplikasi Teknik Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan|
Ketika waktu Tasmik berlangsung tengahari tadi, saya berkesempatan mengaplikasi Teknik Nabi kepada seorang pelajar tahun 1 agak nakal dan suka mengganggu kelas setiap kali waktu Tasmik berlangsung.
Memandangkan jumlah pelajar agak ramai, dua orang guru ditugaskan untuk menjalankan aktiviti Tasmik. Daripada jumlah pelajar yang hampir 40 orang, dibahagikan kepada dua kumpulan pelajar. Seorang guru mengendalikan kelas Tasmik kumpulan yang pertama, dan saya pula memegang kumpulan yang kedua.

Memandangkan kelas yang kami kendalikan adalah kelas hujung, pelbagai karenah pelajar yang menduga kesabaran dan iman, harus kami hadapi setiap hari. Di kalangan pelajar nakal tersebut, ada seorang pelajar bernama N. Kerjanya setiap kali waktu Tasmik adalah mengganggu rakan-rakannya dan membikin perbuatan yang menyebabkan guru terpaksa meninggikan suara memarahinya.

Hari ini, N masih bersikap seperti hari-hari Tasmik sebelumnya. Namun sebaik tiba gilirannya untuk membaca Iqra', saya memanggil namanya dan meminta dia datang ke sisi saya untuk memperdengar bacaan.

Sebaik duduk di hadapan saya, N buka buku Iqra' nya. Saya meminta N membaca lembaran Iqra' sambungan bacaannya semalam. Ternyata apabila dia membaca, dia baca ikut suka hatinya. Huruf 'Ba' dan 'Ta' dibaca 'Na'. Apabila saya meminta dia membaca huruf Hijaiyyah daripada huruf 'Alif' yang berbaris atas, dia tidak tahu. 

Dia sebenarnya tidak tahu langsung membaca huruf Hijaiyah. Apabila saya uji N dengan menyuruh dia membaca muka surat pertama Iqra' 1, dia hanya terdiam lama merenung huruf 'Alif' yang saya tunjuk.

Saya tutup mata pada kesalahannya. Saya tidak melakukan perkara-perkara berikut ketika mahu membantu N membetulkan kesilapannya.

1. Saya tidak memarahi N dengan berkata, "Alif...Ba..Ta.. pun kamu tidak kenal. Itulah, lain kali waktu orang baca Iqra' main lagi". (SALAH)

2. Saya tidak mengkritik N dengan berkata, "Kamu ini macam mana? Dekat rumah tak pernah mengajikah? Huruf Alif...Ba...Ta pun kamu tidak kenal. Nak jadi apa tidak tahu mengaji?" (SALAH)

3. Saya juga tidak mengungut N dengan berkata, "Kamu baca sampai dapat huruf-huruf ini. Kalau tidak dapat baca, kamu jangan balik. Duduk dalam kelas ini sampai esok." (SALAH)

4. Tidak juga saya menasihati N dengan berkata, "Itulah, lain kali baca dahulu sebelum ustazah panggil. Tak adalah kamu kena marah." (SALAH)

Sebaliknya, saya aplikasi Teknik Tutup Mata Pada Kesalahan-kesalahan yang dilakukan N. 

Saya aplikasi Teknik Menerangkan. 
Saya berkata kepada N, "Lihat huruf yang lurus dan tegak ini, ini huruf 'Alif'. Apabila di atasnya ada baris begini (atas), kita baca 'Aa'. Cuba kamu sebut."
"Aa.." N mengikut saya menyebut huruf Alif yang berbaris di atas.
"Bagus, sebutan kamu betul. Kalau begini, senanglah kita baca Iqra'." Saya puji N dengan Teknik Pujian Gaya Nabi (puji hasil kerja + sebutkan impak, bukan puji orangnya).

Saya terangkan pula bentuk huruf 'Ba' dan 'Ta'. Saya menerangkan dengan berkata, "Lihat bentuk huruf 'Ba' yang luas macam senyum ini. Apabila bentuk begini ada satu titik di bawah, dia adalah huruf 'Ba'. Apabila huruf 'Ba' berbaris atas, bunyinya 'Ba'. Cuba kamu sebut."
"Ba..." N ikut setiap arahan saya dengan baik. Setiap kali dia berjaya menyebut, saya puji sebutannya dengan Teknik Pujian. Sehingga akhirnya dia berjaya menyebut dan mengenal huruf 'Alif'...'Ba'...'Ta dengan baik sekali. 

Daripada N tidak kenal huruf pada mulanya tadi, dia akhirnya berjaya membaca keseluruhan muka surat pertama dan kedua buku Iqra' hanya kerana didorong dengan Teknik Nabi.

Selepas N tamat membaca Iqra', saya memujinya dengan berkata, "Bagus, kamu berjaya membaca satu muka surat ini dengan baik sekali tanpa tersekat-sekat. Kalau kamu ulang bacaan huruf-huruf yang ustazah ajar tadi, kamu akan cepat dapat membaca Iqra'. Sekarang, balik ke tempat kamu."

Saya fikir, N akan menyambung aktiviti nakalnya bersama rakan-rakannya yang sedang membikin onar ketika kelas Tasmik masih berjalan, rupanya tidak. N duduk di tempat duduknya sambil mengulang sebut huruf-huruf yang saya ajarkan. Malah setiap kali dia terlupa, dia akan datang ke hadapan saya dan bertanya,"Ustazah, ini apa?" Allahu akbar.

Sehingga waktu tamat, N tidak berganjak daripada tempat duduknya. Setiap arahan saya dan seorang lagi rakan guru diikutinya dengan baik sekali. Alhamdulillah...alhamdulillah.
Aplikasi Teknik Nabi s.a.w...

Sama-sama kita ambil manfaatnya.
 
Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat 

                                                                Gambar hanya hiasan

No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright