Saturday, 1 February 2014

DAKWAHNYA...SEKEPING CHAPATI

Teks : Adillah Ismail

Pagi Jumaat baru-baru ini saya mendengar pengisian rohani oleh seorang Ustaz bersama DJ IKIM yang bertugas. Ruginya saya terlepas bicara pengenalan, dan sehingga rancangan habis, nama penceramah tidak diulang sebut.

Pengisian dari Ustaz ini amat baik bagi mereka yang cuba untuk memahami dakwah sesama manusia, khususnya agama Islam. Dari pengisian-pengisian tersebut, ada satu kisah menarik hati saya untuk kongsi bersama di sini.

Menurut ustaz, beliau pernah menemui sekumpulan orang Sikh yang menziarahi pesakit-pesakit di hospital. Kunjungan mereka dengan serban kebanggaan mereka. Tidak beselindung. Bukan pergi berdakwah untuk menganut agama mereka. Tetapi pergi menziarahi mereka yang sakit dengan ucapan yang baik-baik seperti yang dididik dalam agama. Menyatakan simpati di samping huluran sekeping CHAPATI! Tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka tonjolkan kebaikan apa yang diajar oleh agama mereka dengan turun ke lapangan dan menyatakan dakwah kebaikan agama mereka di sebalik sekeping chapati. 

Betul kata Ustaz, sampai dakwahnya apabila chapati tersebut di jamah oleh mereka di wad tersebut. Yang gembira menjamah bukan sahaja pesakit, namun yang datang melawat, lebih-lebih lagi menikmatinya.

Secara jujur, hati saya terkesan. Dakwahnya hanya sekeping chapati. Tanpa mikrofon, tanpa pentas, tanpa program bercakap-cakap. Mereka keluar dari zon selesa. Keluar dari kelompok sendiri. Bertemu dengan orang yang tidak di kenali. Menyebarkan kepada orang lain ciri-ciri baik agamanya. Dakwahnya ada pada sekeping chapati.

Bagaimana kita ummat Nabi Muhammad, mahukah kita berdakwah dengan sekeping roti canai? Tepuk dada, lihat suasana. Keluarlah kita sampaikan dakwah. Tidak perlu banyak bercakap, tidak perlu bersyarah jika itu keterbatasan kita dalam ilmu agama. Tetapi hulurkanlah sekeping roti canai kepada tukang sapu, cleaner, pesakit di hospital mahupun mereka yang meminta sedekah di jalanan tanpa mengira anutan mereka. Ia sudah cukup menyampaikan mesej - saya (kami) ummat Islam yang prihatin sesama manusia lain. Islam agama selamat, Islam agama yang baik.

*kisah ini mengingatkan saya kepada arwah Opah Bibi. Keluarga Sikh Muslim yang melayan keluarga kami begitu baik seperti keluarga sendiri. Tidak pernah saya dan adik-adik pulang dari rumah beliau sebelum menjamah chapati Opah Bibi. Al fatihah untuk Opah Bibi.

Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat

No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright