Wednesday 5 March 2014

Kaedah Mudah Didik Anak RAJIN MENCATAT

Teks : Adillah Ismail

Saya di dedahkan dengan kaedah mencatat di dalam buku secara konsisten oleh guru online saya, Nisa Nuar. Kata beliau, itu adalah teknik asas untuk saya konsisten menulis blog. Catat apa sahaja yang teringat atau lalui pada masa itu. 

Kalau kita lihat, pesanan beliau ini 'biasa-biasa' sahaja. Maklumlah, mencatat. Bukankah dari dulu kita sudah biasa mencatat. Tiada apa yang luar biasa. Tapi sebenarnya kita tidak konsisten. Percaya cakap saya, kita amat jarang sebenarnya mencatat. Angkat tangan, siapa ada buku catatan di dalam tas tangan?

Ia berlaku sedemikian kerana kita tidak melatih diri. Tapi masih belum terlewat. Ia boleh dilatih. Untuk orang dewasa, pesan saya untuk diri sendiri dan teman-teman, istiqamah sahaja. Kerana kemahiran menulis itu memang sudah ada. Tiada buku nota, gajet di tangan juga boleh membantu-pesan Nisa Nua.

Entri kali ini, saya ingin berkongsi bagaimana saya sedang 'belajar-belajar' didik anak menjadi seorang yang suka mencatat. Inspirasi ini juga saya dapat setelah membaca buku I Want To Be A Writer, tulisan Ummu Hani Abu Hassan. Cikgu Abu Hassan mendidik Ummu Hani sejak kecil  mencatat segala apa yang dilihat ketika perjalanan dalam kereta. Dan, Ummu Hani terus menjadi seorang yang rajin mencatat sehingga hari ini. Hari ini, Ummu Hani merupakan seorang penulis cerpen dan novel yang popular. Bahasanya amat baik dan menyenangkan pembaca. Cerpen atau novel beliau juga berinformasi. Ia adalah hasil catatan.

Saya juga mahu mencuba.
Saya mulakan dengan perkara yang mudah, sesuai dengan kemampuan MB yang berusia 7 tahun -  menulis nombor plat kereta. Saya sediakan sebuah buku nota kecil untuk anak sulung saya, MB. Ia di letakkan dalam kereta kami. Ia untuk MB mencatat nombor plat kereta. Di mana-mana sahaja yang sempat dia lihat kereta ketika berada dalam kereta kami. Ia bermula ketika MB melangkah ke darjah 1, 2 bulan lepas.

Dalam sebulan, agak liat juga dan mengeluh. Tetapi saya galakkan. Ia juga satu cara saya alihkan perhatian anak-anak saya dari bergaduh di dalam kereta.

Alhamdulillah, hari demi hari saya lihat perkembangannya. Semakin rajin dan sekarang sudah konsisten. Masuk kereta, mencari buku nota. MB sangat sayangkan buku nota itu. Ia hampir penuh. Sudah sampai masa saya menggantikan yang baru :).

Ia bagus juga untuk melatih daya ingatan. Lihat plat kereta, cuba hafal dan tulis semula.

Kini, anak saya semakin rajin mencatat tanpa disuruh. Bukan sahaja plat kereta tetapi apabila berkunjung ke tempat lawatan dan ada perkara yang menarik perhatian, beliau akan terus mencatat. Semoga sikap ini akan berkekalan untuk MB dan anak-anak saya yang lain juga.

Ia bukan paksaan. Galakkan sahaja. Inshaallah anak-anak akan terdorong melakukannya. Biar ia berlaku secara semulajadi. Peringkat awal, dorong dahulu. Ia tidak rugi. Budaya mencatat, sampai bila-bila ia di perlukan. Sekolah-universiti-ceramah-seminar-atau di mana sahaja. 

Tiada siapa boleh menafikan kebaikan budaya mencatat ini...

*jangan lupa ye, sediakan untuk adik-adiknya yang lain juga. Walaupun belum pandai menulis, mereka juga mahu kelihatan seperti kakak dan abangnya.

Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat


                                                   Catatan MB pada awal belajar mencatat
                                                   -Januari 2014
                                                  Catatan pada bulan kedua, Februari 2014

No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright