Saturday 15 March 2014

Kejiranan Bukan Melayu, Satu Pengalaman Istimewa

Teks : Adillah Ismail

Saya dan keluarga tidak duduk di dalam zon selesa. Maksud saya dalam konteks kejiranan. Rata-rata jiran kami bukan Melayu dan majoritinya berbangsa Cina, beragama Budhha dan Kristian. Tapi saya merasai keharmoniannya walaupun kami adalah satu-satunya keluarga Melayu beragama Islam di perumahan ini.

Ramai sahabat kehairanan kami membeli rumah di kawasan ini kerana katanya 'ia bukan kawasan Melayu'. Saya tidak mengerti akan makna kata-kata berkenaan. Tapi mungkin jua buat-buat tidak mengerti. Tertanya-tanya juga, tidak baikkah atau tidak selamatkah duduk di lingkungan bukan Melayu? Saya maklum akan kebaikan di lingkungan kejiranan Melayu, penting apabila berkenduri kendara, kematian dan sebagainya.

Kami memohon pada Allah ketika membuat keputusan  membeli rumah ini 7 tahun lalu agar ia adalah pilihan Allah untuk kami diam di sini. Ketika itu kami tidak tahu pun bahawa hanya kami sahaja orang Melayu di perumahan ini. Keputusan kami ketika itu bersandarkan kepada 3 perkara utama - dekat dengan masjid - 4 minit sahaja (ia masjid sebuah kem askar yang berdekatan), lapangan terbang - 8 minit (jika tertinggal barang di rumah, baik kami mahupun tetamu yang bertandang, boleh berpatah balik), dan 20 minit dari tempat kerja kami. 

Tahun berganti, baru kami tahu, kejiranan kami bukan kelompok orang Melayu. Kerana jiran-jiran tidak berpindah serentak. Perumahan terdekat juga boleh dibilang dengan jari orang Melayunya.

Namun, alhamdulillah, rumah ini sangat selesa kami diami, harga berpatutan, kemasan rumah juga menjadi perhatian rakan taulan. Ramai kehairanan dengan harga rumah berbanding buatan rumah ini.

Saya sifatkan keluarga kami tidak berada di zon selesa. Namun kami cuba membuatkan suasana jadi selesa untuk kami sekeluarga. Agar hubungan sesama jiran Cina dan bumiputera yang lain mesra. Rumah depan, kiri dan kanan adalah berbangsa Cina. Tidak sebangsa juga agama namun dengan merekalah kami mohon pelbagai pertolongan. Mereka juga akan menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan masa.

Jika suami tiada di rumah, berlaku kes kecemasan, merekalah yang membantu saya dan keluarga.

Beberapa kali sudah terjadi. Perkara begini menjadikan kami lebih saling hormat menghormati.

Kawasan rumah juga banyak anjing berkeliaran, mungkin kerana faktor berkenaan. Namun Alhamdulillah, anjing-anjing ini tidak pernah menganggu rumah kami. Malahan ibarat menjadi pengawal tidak bergaji untuk perumahan kami.

Apabila media dan orang politik memainkan isu hubungan antara kaum, tidak di nafikan hati agak gusar kerana kami tahu mereka membaca akhbar Cina yang setiap hari laporannya lebih berani. Tetapi alhamdulillah, hubungan kami tidak terjejas. Yang penting, kami perlu tunjukkan contoh yang lebih baik, demi agama Islam, kerana kami khalifah Allah, wakil hamba Allah yang lain di ruang ini.

Bila tiba Tahun Baru Cina, saya pastikan kami menempah kek untuk jiran-jiran sebagai tanda ucap terima kasih kerana membantu kami tanpa syarat. Walaupun ada pelbagai pendapat, namun kami luangkan juga masa menziarahi jiran terdekat apabila tiba sambutan Tahun Baru Cina. Mereka akan pastikan juadah itu 'halal'. Yang tidak halal untuk dimakan dan diminum segera di ketepikan. Kami hormat apa yang dihidang dan memahami keadaan yang Allah tentukan ini. 

Hari Raya Aidilfitri juga kami tidak kesunyian, pasti ada buah tangan untuk kami bawa pulang ke kampung halaman. Tiba musim durian, uncle sebelah lebih awal berkongsi buah durian bersama kami.

Doa saya untuk mereka, semoga ada di antara jiran saya yang akan mengetuk pintu rumah kami satu hari nanti, bertanyakan tentang Islam yang kita sanjungi. Bila dan bagaimana, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Amiin...

Terima kasih kerana membaca entri ini

Salam Hormat


No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright