Sunday, 17 November 2013

Berhenti Kerja



Teks : Adillah Ismail
Hari ini, 19 November 2013, tarikh sepatutnya saya kembali melapor diri setelah bercuti 3 bulan kerana melahirkan Sumayyah. Namun perancangan Allah untuk saya adalah sebaliknya. Sesuatu yang saya tidak terfikir seawal ini saya meninggalkan alam pekerjaan.

Saya juga seperti ibu-ibu lain yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja di organisasi, akan ditanya soalan bertubi-tubi oleh kenalan mahupun keluarga dan saudara mara. Seolah-olah dunia akan berakhir dengan keputusan kita. Namun jika kita mendapatkan nasihat dari mereka yang berpengalaman, pasti semangat lebih kuat dan pandangan hidup jauh berbeza. Amat jauh. Saya amat menghargai pandangan dan nasihat dari Pn Khairunnisa Hamzah, guru online saya.
Istikharah saya kepada Allah, memohon ketetapan hati dengan keputusan yang dipilih.  Jika sudah istikharah, tidak perlu bersusah hati. Rezeki itu milik Allah. Bekerja di pejabat atau bekerja untuk keluarga tersayang sudah ditentukan rezekinya oleh Allah. Memilih bekerja untuk keluarga juga, rezeki bukan? Jangan memandang wang ringgit sebagai tanda aras untuk rezeki. Saya yakin, sedikit yang saya lepaskan, banyak yang akan masuk ke dalam kehidupan ini. Hati yang tenang juga rezeki tidak ternilai.
Saya mahu bebas dari mencari penghargaan manusia. Ia tolakan semangat dari dalam diri. Bekerja untuk seseorang, atau organisasi, tidak dapat tidak tentunya terselit untuk mendapatkan penghargaan manusia, pengiktirafan. Apa yang di cari adalah redha Allah. InshaAllah dengan redha Allah, saya akan rasa bebas dan tiada tekanan dari sesiapa.
Saya tahu cabaran tetap ada walau dimana kita berada selagi hayat dikandung badan. Namun sekurang-kurangnya, pilihan saya ini dapat memelihara diri saya dari fitnah, fitnah pergaulan serta dosa mengumpat yang sering berlaku ditempat kerja.
Impian saya untuk berkhidmat kepada suami, anak-anak, juga ibu ayah saya. Melihat anak-anak membesar di depan mata dan mendidik mereka sendiri. Mereka amanah Allah untuk saya kerana itu saya dikurniakan zuriat dari Rahim sendiri. Tidak wajar saya menyerahkan amanah dan tanggungjawab yang Allah beri ini kepada orang lain. Saya mohon redhaMu ya Allah.


1 comment:

  1. Tahniah akak kerana berani membuat keputusan ini. Doakan saya untuk ikut jejak langkah akak. Saya juga ingin menjadi WAHM.

    ReplyDelete

Copyright

Copyright