Friday, 15 November 2013

Rumah Kecil di Pinggir Kubur

Teks : Adillah Ismail

Saya mengenali Jamis ketika rakan dari Urusetia Saudara Kita mengajak bersama menziarahi keluarga ini. Jamis, ibu beranak tiga bersama suami tinggal di Jalan Chawan. Saya tidak pernah tahu akan tempat ini, justeru hati bersungguh mahu ke sana.

Tiba di satu lorong di celah-celah bangunan kilang usang, kami masuk ke kawasan perkuburan lama Kristian. Hati berdebar juga walaupun disiang hari. Sungguh tidak saya sangka, sebelah kubur itulah rumah Jamis. Atau lebih tepat lagi, diatas tanah kubur. Mereka tinggal disini? 

Rumah papan yang sangat daif ini, jika tingkap rumahnya dibuka, terus menghala ke tanah perkuburan usang itu yang penuh dengan tanda salib. MasyaAllah, bayangkan itu kehidupan mereka empat beranak. Perasaan saya? Sayu, pelik, hairan, meremang bulu roma dan entah apa lagi saya rasa. Hakikatnya, seorang saudara kita mendiami sebuah rumah dan menumpang di tanah perkuburan Kristian. Aduhai teman-teman, bersalahnya saya rasa sedangkan saya tidur lena di sebuah rumah yang sempurna alamatnya.

Ketika tiba, Jamis sekeluarga tiada. Saya datang di kemudian hari bersama suami membawa barang makanan yang dikumpulkan bersama rakan untuk disedekahkan. Alhamdulillah, Jamis sekeluarga ada dirumah. Kami berbual. Jamis ini salah seorang saudara kita (muallaf) yang sudah lama kembali kepada Islam sejak berkahwin dengan suaminya yang berasal dari sebuah negeri. Mereka dikurniakan 3 orang anak dan anak yang kecil tinggal bersama ibunya yang masih beragama asal di kampung. Mereka terpaksa menumpang tanah kubur tersebut kerana tiada pilihan - mengikut kata Jamis. Mereka juga dibenarkan menumpang  oleh pihak tanah perkuburan Kristian ini tanpa sebarang bayaran. Suami beliau tidak bekerja, hanya Jamis yang keluar mencari rezeki. Bekerja di kedai kopi Cina. Jamis yang bekerja kerana suasana rumah sangat sunyi di siang hari (tentunya malam hari bertambah lagi) dan beliau amat takut bersendirian di rumah malah takut untuk berjalan kaki menghantar anak ke sekolah. Oleh kerana itu mereka bertukar tanggungjawab.

Saya amat kasihan melihat anak-anak Jamis yang membesar di persekitaran tanah kubur ini. Amat sedih. Tiada bekalan elektrik, tiada bekalan air. Tetapi mereka rajin membersihkan rumah kecil ini. Gembira menerima apa jua rezeki yang mampu kami hulurkan.

Saya sering kerumah Jamis menghantar keperluan seharian. Namun ia tidak lama. Saat terakhir saya bertemu Jamis, ketika mencarinya di kedai kopi Cina tempat beliau bekerja. Berita terakhir yang saya dengar, Jamis kini sudah kembali ke kampung halamannya kerana tidak dapat lagi menumpang di tanah kubur itu kerana sering diganggu samseng.
Saya hanya mampu berdoa agar Jamis dan anak-anak kekal di dalam Islam walau di mana mereka berada. Semoga apa yang anak ini lalui dimasa kecilnya menjadi penguat semangat di masa hadapan.

Kita doakan mereka.

Salam mesra

No comments:

Post a Comment

Copyright

Copyright