Setiap
kali cuti semester universiti, saya jarang pulang ke kampung halaman. Kadangkala
pulang, kadangkala saya tinggal di universiti sahaja. Ia bergantung kepada
kewangan pada ketika itu kerana belajar di perantauan, perbelanjaan tiket kapal
terbang sangat perlu dipertimbangkan. Oleh hal yang demikian, saya mengisi masa
cuti dengan melakukan aktiviti di beberapa tempat yang menjadi topik
pembelajaran di universiti.
Kali
ini saya ingin berkongsi berkenaan pengalaman saya berhadapan dengan pesalah
juvana. Berdekatan universiti saya, terdapat sebuah sekolah khusus menempatkan
pesalah-pesalah juvana lelaki. Saya mengambil kesempatan untuk menjadi
sukarelawan ketika cuti semester. Sementelah, kumpulan ini juga merupakan salah
satu skop pembelajaran di universiti. Berada dilapangan pastinya membantu saya
lebih menguasai pembelajaran. Itu harapan saya.
Satu
kisah yang tidak boleh saya lupa ialah apabila saya mendengar kisah 2 adik
beradik yang berasal dari satu daerah, sempadan antara Brunei dan Sarawak. Agak
saya, mungkin pada hari ini, mereka sudah menginjak remaja kerana 11 tahun
lalu, umur mereka sekitar 7-8 tahun sahaja. Pesalah juvana termuda di institusi
pada ketika itu.
Mereka
sangat menarik perhatian di institusi ini kerana mereka adik beradik. Tubuh
mereka berdua kecil sahaja dan kelihatan amat kurus. Kemana pergi pasti berdua.
Nilai kasih adik dan abang. Sekecil ini mereka dipisahkan dari ibu untuk menjalani
hukuman. Saya selalu memerhatikan mereka. Mereka jarang mahu berbual kerana
sangat pemalu dengan orang luar.
Mereka
berdua dimasukkan ke institusi khusus untuk pesalah juvana ini kerana kesalahan
mencuri. Mencuri di kedai kampung mereka. Kerana kesalahan itu, pekedai membuat
laporan polis dan kedua beradik ini dijatuhkan hukuman dan dimasukkan ke
institusi yang menempatkan pesalah juvana pelbagai latar belakang kesalahan. Hati terasa mahu memberontak dengan hukuman ini kerana bagi saya ia tidak adil. Tidak adil sama sekali.
Anak
ini mencuri untuk membantu ibu mereka. Seingat
saya mereka ambil ubat nyamuk, beras, gula dan lain-lain keperluan makanan
harian. Kehidupan mereka sangat miskin. Mereka tidak mampu untuk mendapatkan
wang. Justeru kasihan dengan ibu yang terpaksa menjaga adik-adik, mereka
membantu dengan mencuri. Alangkah sedihnya hidup mereka yang harus ditempuhi seawall
7-8 tahun. Tidak mampu bersekolah dan perlu mencuri untuk hidup. Akhirnya
terlontar jauh di daerah yang lain. Jauh dari ibu.
Saya
berharap kedua beradik ini bertemu dengan petunjuk hidup yang lebih baik oleh
Allah swt. Saya mungkin tidak akan bertemu lagi dengan mereka tetapi kisah
mereka mengingatkan saya tentang nikmat bersyukur yang kadangkala sering kita
lupakan.
Simpan
semua persoalan yang bermain di fikiran disebalik cerita ini di dalam hati
kalian. Kita tidak perlu bertanya. Cukuplah cerita ini menjadi asbab untuk kita
(saya) terus sentiasa bersyukur dalam hela nafas yang masih ada.
InshaAllah,
saya akan cuba berkongsi beberapa lagi kisah bersama pesalah juvana ini lagi
nanti. Saya ingin nukilkan ia disini agar ia tidak luput dari ingatan saya. Ia satu kenangan dan pengalaman yang amat berharga.
No comments:
Post a Comment