Monday 16 December 2013

Dia Pengurus Di Situ?

Teks : Adillah Ismail

Anak muda ini saya temui ketika beliau masih remaja. Di hantar ke institusi untuk pesalah juvana kerana terlibat dengan jenayah kecil. Namun saya tidak ingat apa kesalahan beliau. Saya berkenalan dengan Robin ketika saya menjalani latihan praktikal di institusi ini seterusnya menjadi sukarelawan di situ untuk satu tempoh.

Orangnya berperwatakan lembut, berkulit putih dan diminati kerana wajahnya yang 'cute'. Saya rasa seolah tidak percaya bahawa beliau ada melakukan jenayah. Sefaham saya, pesalah juvana di institusi negeri ini, jenayahnya kecil-kecilan sahaja (pada ketika itu). Namun amat saya kesali, kerana sedikit kesalahan, dihantar ke insititusi, jauh dari keluarga demi untuk menghukum kesalahan tersebut. Tapi yelah, kecil bagi saya tetapi mungkin besar bagi orang yang menghukum.

Robin baik dengan saya. Setiap kali saya hadir untuk bertugas, dia sentiasa menegur saya dan kadangkala kami berbual-bual. Tugas saya ketika itu, lebih kepada berbual-bual kerana anak-anak di sini memerlukan individu untuk bercakap. Menerima mereka tanpa syarat. Mereka kesunyian. Namun, Robin seringkali keluar masuk lokap institusi kerana mempunyai tabiat di luar tabii dengan pesalah lelaki di situ. Saya amat kasihan melihat Robin. Bagi saya, ia bukan 100% kesalahan Robin mahupun anak-anak lelaki disitu. Ia adalah faktor persekitaran dan suasana mereka dibesarkan. Kita tidak boleh menghukum.
 
Bertahun saya tidak menemui Robin, malahan saya hampir melupakan 'rakan' saya ini. Sehinggalah pada satu hari saya bersama suami makan di sebuah KFC di bandaraya. Kelihatan seorang anak muda sedang sibuk memberi arahan kepada staf-stafnya yang sedang bekerja. Nampak segak dan kemas dalam seragam Pengurus Cawangan KFC. Bila beliau berpaling ketika saya sedang beratur untuk memesan makanan, kami terpandang antara satu sama lain. Eh, Robin! Saya begitu terkejut melihat Robin di situ.Alhamdulillah beliau masih mengenali saya. 

Saya begitu teruja dapat bertemu Robin disitu. Saya fikir, tiada lagi adik-adik insititusi akan saya temui lantaran tidak pasti hala tuju mereka ketika itu. Namun, Alhamdulillah. Tuhan mengurniakan rezeki kepada Robin untuk berjaya. Walaupun beberapa tahun di tempatkan di sana, kehidupan tidak sempurna. Di caci oleh orang di luar. Tertekan. Hidup tanpa keluarga. Berdepan dengan dugaan di insititusi.

Bagi seorang pesalah juvana, di terima untuk bekerja merupakan satu anugerah yang amat hebat untuk mereka. 

Saya menyeru masyarakat di luar sana, bantulah diri anda untuk mengubah persepsi, menerima perubahan dan berilah sokongan kepada mereka, jika anda menemui bekas pesalah juvana mahupun banduan di luar sana.

Penerimaa kita terhadap mereka, mampu mengelakkan mereka terjebak buat kali kedua. Acceptance!

Akhir kalam, marilah kita sama berdoa semoga Robin terus berjaya dalam kehidupan beliau.

Salam Hormat.

3 comments:

  1. Alhamdulillah ada pesalah juvana ini yang berubah menjadi lebih baik... Kita harapkan semuanya begitu. Namun ada segelintir yg hatinya sudah terlalu keras dan kental hingga memendam amarah dan dendam saja. Kita doakan org seperti mereka ini dilembutkan hati dan dilimpahi hidayah untuk berubah jd lebih baik

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul mariatul Q. mreka insan terpilih. sy lihat ketika itu, pengetua institusi ini memainkan peranan yg sgt besar. iaitu keprcayaan. mgkin ini yg bnyk mmbantu.

      Delete
  2. Bukan hak kita untuk menghukum orang. Hidayah milik Allah dan akan diberikan kepada siapa yang dikehendakinya. Selalu terjadi org yang kita sangka jahat itulah yang paling disayangi Allah. Bersangka baik pada semua org dan saling mendoakan kebaikan sesama kita. :-)

    ReplyDelete

Copyright

Copyright