Tuesday 10 December 2013

Firdaus - Setia Seorang Anak Angkat

Teks : Adillah binti Ismail

Saya bertamu ke rumah kak Nuris di Johor Baharu ketika pulang ke kampung sebelah suami bagi menghantar beras fidyah kepada rumah kebajikan yang diusahakannya secara persendirian.

Di rumah ini saya diperkenalkan dengan 'anak baru' beliau, Firdaus. Saya tidak hairan dengan kak Nuris yang mempunyai ramai anak yang dibela olehnya kerana kak Nuris ini orang yang mulia hatinya. Menjadi tempat insan-insan kurang bernasib baik berlindung.

Firdaus seorang anak yatim yang tidak cukup kasih sayang seperti kanak-kanak lain. Umurnya sekitar 8-9 tahun. Firdaus merupakan anak angkat kepada pasangan mualaf. Bapa angkatnya seorang mualaf cina. Manakala ibu angkatnya berasal dari Indonesia. Mereka berkahwin di usia yang lewat. Bagaimana kehadiran Firdaus? Menurut cerita kak Nuris, ketika masih dalam hari, Firdaus dihantar ibu kandungnya, juga seorang gadis Indonesia di depan pondok pasangan mualaf tadi. Kehidupan mereka susah tetapi bahagia bersama ibu dan ayah angkatnya. Baru dibela 6 tahun, ayah angkatnya pula meninggal.

Sejak itu Firdaus tinggal bersama ibu angkat yang tiada pekerjaan. Mereka menumpang hidup di sebuah pondok nursery (yang layak digelar stor) kepunyaan seorang taukeh cina. Pondok ini langsung tidak mempunyai kelengkapan rumah. Selepas 2 tahun ayah angkatnya meninggal, ibu angkatnya pula menderita penyakit ketumbuhan dalam otak. Sejurus selepas pembedahan, ibunya terus lumpuh dan tidak boleh bercakap lagi. Hanya terlantar di katil dengan mengharap adik Firdaus ini yang menjaga ibunya. 

Rutin Firdaus pulang dari sekolah, beliau akan menemani ibunya. Firdaus akan menyediakan makanan buat ibunya. Mi Maggi yang dicurahkan air panas. Itulah sahaja makanan buat mereka bagi mengisi perut. Setelah mi maggi disediakan, Firdaus yang akan menyuapkan ibunya makan. Setiap hari. Jika Firdaus tiada, ibunya akan menunggu dalam kelaparan. Itulah dunia seorang anak kecil bernama Firdaus. Sekolah dan ibu.

Pengalaman hidup Firdaus begitu menyentuh hati. Dia tidak dapat dijaga dengan sempurna dan terabai lantaran ayah angkat telah meninggal dunia dan ibu angkatnya juga lumpuh kerana sakit. Tiada panduan dalam cara hidup orang Islam. Firdaus bersekolah di sebuah sekolah Cina sekitar Johor Baharu. Beliau didaftarkan beragama Budhha oleh pihak sekolah tersebut. Saya tidak menyalahkan pihak sekolah. Mereka juga tiada niat untuk melakukan itu, tetapi mungkin ia bagi memudahkan urusan membantu Firdaus. Kebetulan dengan latar belakang anak ini yang amat mengelirukan. Kak Nuris sendiri melihat buku pendaftaran sekolah anak ini yang tercatat Firdaus beragama Budhha.

Keluarga ini mendapat banyak bantuan dari persatuan Cina. Namun pastinya ia bermusim. Walaupun bantuan diterima, namun tiada siapa yang mahu mengambil tanggungjawab membela Firdaus dan ibunya yang lumpuh ini. Akhir-akhir sebelum mereka ditemui Kak Nuris, mereka baru menerima bantuan dari Baitulmal sebanyak RM250 sebulan. Kes ini mungkin baru ditemui oleh pihak jabatan agama.

Kak Nuris mengambil keputusan untuk memelihara adik Firdaus dan ibunya. Bagi menyelamatkan akidah mereka serta memberikan penempatan dan pendidikan yang lebih baik.

Setelah tinggal bersama kak Nuris, adik Firdaus di sekolahkan di sekolah kebangsaan. Namun tidak nampak perkembangannya memandangkan beliau bersekolah di aliran Bahasa Cina serta banyak ketinggalan dalam pelajaran. Oleh itu kak Nuris telah memindahkan Firdaus ke sebuah pusat tahfiz. Kak Nuris akan menjemput Firdaus ketika musim cuti sekolah dan beliau sedang mengasuh Firdaus untuk berdikari. 

Alhamdulillah kini Firdaus sudah boleh mengaji dan bersolat.

Kita doakan Firdaus menjadi insan yang berguna kepada agama dan bangsa. Walaupun latar belakangnya tidak semolek anak-anak lain namun itu bukanlah faktor penentu kejayaan hidup kerana Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang telah direncanakannya.

Dimana ibu Firdaus? Inshaallah akan saya ceritakan dalam entri akan datang, tentang perjuangan dan pengorbanan kak Nuris. Seorang wanita biasa-biasa yang perjuangannya luar biasa.

Semoga Allah juga mengurniakan peluang yang sama kepada kita semua untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti peluang yang diterima oleh kak Nuris.

Salam hormat





2 comments:

Copyright

Copyright