Tuesday 28 January 2014

Bahagian 1: Budaya Masyarakat Jepun....Cuma Hidayah Yang Belum Tiba (Bahagian 1)

Teks : Adillah Ismail


Saya minat menonton rancangan Al Khawater, di saluran TV Al Hijrah. Pengacaranya yang bersahaja, Ahmad Al Shugairi mempunyai aura tersendiri. Mengajak (berdakwah) kepada penonton untuk melakukan kebaikan. Rancangan ini mudah di fahami. Ia bersiaran pada jam 7.30 malam pada setiap hari.

Baru-baru ini rancangan Al Khawater musim ke 5 menghidangkan intipati siaran berkaitan budaya Jepun. Secara sinikalnya ia membandingkan antara Jepun dan negara Arab (budaya yang hampir dengan budaya orang Malaysia-sangat hampir). Saya dan suami mengajak anak-anak bersama-sama menonton untuk memberikan pendidikan kepada mereka secara audio visual. Menarik, ia mudah melekat di fikiran anak-anak! Anak-anak saya berusia 7 dan 3 tahun enjoy menonton bersama dan mereka sedang cuba mempraktiskan apa yang mereka tonton iaitu budaya orang Jepun.

Kita biasa mendengar itu dan ini tentang masyarakat Jepun. Namun saya tidak pernah melihat ia secara realiti keseluruhannya. Kecuali ada beberapa budaya yang saya 'admire' ketika berkunjung ke Jepun beberapa tahun yang lalu. Cuma terkilan, ia tidak di catit. Lalu jadilah ia 'ingat-ingat lupa'. Sejak berblog, di bawah bimbingan Nisa, saya mula menanam tabiat, semua perkara mesti dicatit. Kerana kita tidak mampu mengingati semua perkara walaupun ia kenangan yang sangat mahu diingati.

Untuk beberapa entri, saya akan berkongsi, pemerhatian Ahmad Al Shugairi berkenaan budaya istimewa masyarakat Jepun yang sangat mirip dengan apa yang di dambakan dalam agama Islam. Saya berharap budaya ini akan cuba di serapkan dalam diri kami dan pendidikan anak-anak. InshaAllah.

Sebelum itu, suka saya ingatkan bahawa, perkongsian di bawah bukanlah kerana saya terlalu mengagungkan bangsa lain. Namun ia hanyalah sebagai benchmark saya dalam membentuk budaya yang baik dalam diri dan keluarga. Dan budaya mereka amat rapat dengan asas Islam yang perlu di praktiskan oleh ummatnya


1. MENYANTUNI MAKANAN
Masyarakat Jepun (MJ) sangat menyantuni makanan. Mereka akan makan sehingga habis. Hinggakan hampir tiada sisa dalam bekas makanan mereka. Dari yang kanak-kanak, remaja hinggalah golongan tua. Ibu-ibu di Jepun juga gemar menghiasi makanan anak-anak mereka untuk menggembirakan anak juga membangkitkan selera sehingga makan sehingga habis. Ia dinamakan Bento. Comel sekali bento yang dihasilkan ibu-ibu di Jepun. Saya, kita...bagaimana? Sanggup...dan mahu?


                                                                       BENTO

2. MENGHARGAI DAN BERSYUKUR DENGAN MAKANAN
Di sekolah, MJ akan di ceritakan tentang zat makanan yang akan dijamah oleh mereka sebelum mereka makan. Segala kebaikan makanan tersebut akan diceritakan dihadapan kelas oleh guru mereka sebelum ia masuk ke mulut. Bertujuan untuk kefahaman juga mendidik MJ agar menghargai makanan dan bersyukur.

3. GURU MAKAN BERSAMA ANAK MURID
Guru akan makan bersama anak murid. Pengetua sekolah akan makan setengah jam lebih awal makanan yang di hidang kepada murid bagi memastikan makanan tersebut selamat dimakan oleh semua pelajar. Setiap pelajar makan makanan yang sama.Sekolah kita?

                                      Mereka makan makanan yang sama. Tiada perbezaan.
                                                              Mesti ada susu bersama.

4. MEMBERSIHKAN KELAS
Pelajar dan guru akan bekerjasama membersihkan kelas selepas makan dan setelah habis persekolahan. Tiada yang terkecuali. Tiada yang curi tulang! Tidak perlu jadual penggiliran. Semua rasa bertanggungjawab melaksanakannya secara berjemaah. Sekolah kita?

5. BEKAS MAKANAN
Bekas makanan tidak akan dibiarkan di atas meja seperti kita di Malaysia. Di sekolah, cafe, restoran dan sebagainya, bekas makanan akan diangkat sendiri dan diletakkan di tempat yang disediakan. Mereka akan mengasingkan sisa makanan dan air dan ditempat yang disediakan jika masih ada baki. Oleh itu negara mereka tidak perlukan ramai pekerja di restoran. Kita?

6. LOST AND FOUND
Mereka percaya tiada barang yang akan hilang di Jepun. Jika ada terjumpa di mana-mana, MJ akan meletakkan barang tersebut di kotak atau pejabat  LOST AND FOUND. Ia terdapat di mana-mana di Jepun. Ahmad Sughairi telah mencuba. Beliau tinggalkan dompet di satu tempat terbuka dan membuat pemerhatian. Tidak lama selepas itu, sepasang warga muda Jepun telah menjumpai dompet beliau. Tidak membukanya tetapi mereka pergi mencari peta di kawasan berdekatan untuk mencari lokasi balai polis terdekat. Seterusnya pasangan itu berjalan sejauh 1.5 km semata-mata untuk pergi ke balai polis menghantar dompet Ahmad. Keesokannya, Ahmad pergi ke balai polis yang lain untuk melaporkan 'kehilangan', hanya tidak sampai 1 minit, dompet tersebut di ketahui di pejabat mana ia di simpan- AMANAH & BERKESAN- Tempat kita bagaimana?


7. SUKAR MENEMUI SAMPAH
Di Jepun, anda hampir tidak akan menemui sampah di mana-mana. Ketika berkunjung ke Nagasaki beberapa tahun lalu, saya melihat suatu pandangan yang berbeza. Terdapat beberapa golongan tua yang berjalan-jalan membawa chopstik. Anda tahu untuk apa? Untuk tolong membuang puntung-puntung rokok yang mungkin terdapat di celahan-celahan kerusi atau pasu bunga. Menurut suami, MJ sangat sayangkan negara dan bangsa mereka. Golongan tua ini adalah mereka yang sudah berpencen. Adakalanya mereka akan membantu anak-anak yang melintas jalan di sekolah.  Ahmad Al Shugairi  memerhati segolongan muda yang sedang duduk-duduk sambil makan di sebuah taman. Tiba-tiba makanan tersebut tumpah di atas tanah dan remaja tersebut terus sahaja mengutipnya beramai-ramai. Ahmad terus mendekati mereka dan bertanya, kenapa mereka perlu mengutip makanan tersebut sedangkan ia sudah jatuh dan mungkin kotor. Ringkas sahaja jawapan remaja tersebut -  kita kena bersihkan ia supaya orang lain merasa selesa dengan tempat itu kerana ia adalah tempat awam, untuk kegunaan semua. Kita?



8. Manner Mode (Japanese Mobile Phone Culture)
Kita semua mempunyai telefon bimbit yang ada mode 'silent'. Mode ini kita gunakan apabila berada di dalam mesyuarat atau ketika anak sedang tidur :). Namun di Jepun, ia di namakan Manner Mode - mode akhlak. Tanyalah kepada yang pernah menetap di Jepun, pasti mereka akan ingat Manner Mode ini. Apabila berada di tempat awam, mereka akan menggunakan Manner Mode. Begitu juga jika berbual di telefon di dalam subway atau di tempat awam yang lain. Jika boleh di elakkan, mereka akan elak Sekecil-kecil perkara itu, mereka pertimbangkan untuk keselesaan orang lain. Kita?



Sekian dulu untuk entri kali ini. Senarainya masih panjang. Saya akan menyambung berkenaan perkara ini di dalam entri seterusnya.


Salam Hormat


Terima kasih kerana membaca entri ini


Sunday 19 January 2014

I WANT TO BE A WRITER - UMMU HANI ABU HASSAN

Teks : Adillah Ismail

Saya meminati tulisan Ummu Hani yang saya sifatkan sebagai bersahaja dalam lenggok bahasa yang baik, berbunga tetapi jelas maksudnya, sampai ke dasar hati apa yang ingin beliau sampaikan. Itu yang boleh saya rumuskan.

Buku karangan beliau yang terbaru menarik minat saya untuk berkongsi di sini. Saya ingin mengulas serba sedikit apa yang dikongsikan oleh Ummu Hani di dalam buku I Want To Be A Writer - agar jejak kehidupan dapat di wariskan

Ia berbentuk travelog kisah hidup beliau yang membawa kepada lahirnya seorang penulis bernama Ummu Hani pada hari ini. Ia simple tetapi enjoy membacanya. Bijak Ummu Hani mengadun penceritaan. Benarlah, beliau sangat terlatih.

Penulisan Ummu Hani tidak meninggi diri walaupun sebenarnya apa yang saya baca di buku ini menunjukkan beliau begitu banyak pengalaman hidup serta mempunyai peluang-peluang yang tidak dapat di capai oleh insan sebaya beliau. Beliau menyampaikan dalam bentuk penceritaan yang tidak langsung menunjukkan beliau bangga diri walaupun sudah mencapai tahap sekarang. Tidak tahu bagaimana Ummu Hani boleh menyampaikan sedemikian rupa. Jika saya boleh samakan dengan makanan, saya mahu katakan bahawa ia sedap dan lazat sekali! Saya seronok membaca buku ini serta buku-buku lain coretan Ummu Hani. Tulus dan ikhlas.

Saya menyarankan agar teman-teman yang mahu dan ingin mencuba minat menjadi penulis kreatif, milikilah buku ini. Harga sangat berpatutan,RM22 di Semenanjung dan RM24 untuk Sabah dan Sarawak.

Tips dan teknik begitu mudah di fahami tambahan bahasa yang digunakan ringkas, mudah dan jelas. Ummu Hani membawa kita ke zaman kecil beliau, bagaimana Cikgu Abu Hassan (ayahnya)  menanam minat beliau sehingga beliau bangkit semangat ingin menjadi seorang penulis. Walaupun latar belakang akademik, persekolahan juga pekerjaan sekarang tidak menjurus ke arah itu. 

Bab seterusnya membimbing kita mengenai tip penulisan, contoh cerpen dan drama yang telah beliau nukilkan. Bukan sekadar membekalkan contoh tetapi Ummu Hani bercerita bagaimana cerpen-cerpen serta novel karangan beliau terhasil. Berkongsi bagaimana idea itu terbit. Bila mengetahuinya, baru saya faham, begitu rupanya sebuah cerpen atau novel boleh terhasil. Bukan sekadar imaginasi tetapi ada yang berlaku di alam realiti.

Cubalah dapatkan 1 naskhah, anda pasti berkenan :).Saya bantu linkkan di sini bagi mereka yang ingin mendapatkan melalui pembelian atas talian I Want To Be A Writer - agar jejak kehidupan dapat di wariskan


Salam Hormat

Terima kasih kerana membaca entri ini




Wednesday 15 January 2014

AL FATIHAH - ALLAHYARHAM SITI NAJWA ATIKAH BT AZHAR (UNIMAS)


Teks : Adillah Ismail

Al - Fatihah...
Kita Merancang...Allah juga Merancang...
Kita Berusaha...Allah Penentu Segalanya....
Semoga Pemergiaannya menjadi pengajaran buat kita yg masih hidup...

Setelah beberapa hari mencari..Inilah kesudahannya...
Ternyata Allah Penguasa Langit dan Bumi...Bersangka baiklah dgnNya...Kerana Dia lebih mengetahui apa yang baik buat hambanya..Dia lebih dekat dgn kita lebih drpd diri kita sendiri...

Salam Takziah di hulurkan buat keluarga Allahyarham Siti Najwa Atikah bt Azhar. Semoga seluruh ahli keluarga terutama ibunya di beri kekuatan dalam menghadapi ujian dan musibah ini.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Ali-Imraan : 185)
Saya terpanggil untuk menulis entri tentang perkara ini kerana Allahyarham merupakan salah seorang pelajar di universiti tempat saya belajar sehingga mencari rezeki dan kini menjadi sebahagian ahli keluarganya yang besar. Arwah juga menuntut dalam bidang yang sama dengan saya iaitu Khidmat Sosial (Social Work).
Pelbagai tanggapan, cakap-cakap juga cemuhan dari orang sekeliling. Dari mulut hinggalah perbualan di FB yang memperkatakan tentang perkara ini. Namun, Alhamdulillah, masih ada insan mulia yang tidak mengambil peluang untuk mencemuh tetapi doa mendoakan.

Saya bukan mempertahankan pihak UNIMAS tetapi selaku ahli keluarga besar kami, wajar juga saya kongsikan disini beberapa perkara yang saya terima dari sumber yang benar agar hati kita redha dengan apa yang berlaku. 

Pihak UNIMAS telah sedaya upaya untuk mencari adik ini. Palapes dan warga kampus yang lain turut mencari beliau merata-rata tempat dengan bantuan pihak Polis, berhari-hari. Sejak mereka mula perasan kehilangan tersebut. Ustaz juga dijemput sama untuk mengesan kedudukan adik ini mengikut  kaedah Islam. Kebetulan di dalam UNIMAS ada sebuah kampung (satu-satunya universiti yang ada sebuah kampung di dalamnya-laluan utama mereka, juga laluan utama UNIMAS-berkongsi), orang kampung di sini turut membantu. Ada pihak yang mengatakan pihak UNIMAS tidak berbuat apa-apa kerana mayat di temui orang kampung. Ia tidak berlaku begitu. Sama-sama berganding bahu dan tenaga. Siapa yang menemui, tidak penting. Yang penting adalah -  ia ditemui. Hasil kerjasama semua pihak.

Keluarga Allahyarham juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak universiti atas layanan yang baik. Dari mula hingga mereka berlepas pulang petang semalam. Di beri kemudahan tempat tinggal juga di sediakan makan minum. Tiada istilah pihak UNIMAS tidak memberikan bantuan yang terbaik. ‘Terbaik’itu sangat subjektif sifatnya.

Benar, ada video berdurasi 20-22 saat yang diambil oleh seorang pelajar. Kelihatan seorang pelajar bertelekung sedang berlari anak di depan kolej. Cuma sangkaan teman-teman pelajar adalah mungkin pelajar  yang bertelekung ini mahu pergi tahajjud kerana ketika itu masa sekitar jam 2-3 pagi. Masa ini musim peperiksaan, perkara biasa pemandangan seperti itu agaknya kerana ramai yang ‘stay up’. Itulah kisah video dari telefon yang hangat diperkatakan. Polis juga mengesahkan tentang video berkenaan.

Ibu Atikah sedikit terkilan apabila ada yang menuduh anaknya mungkin dibunuh. Ramai benar yang menjadi pendakwa di alam maya sedangkan hakikatnya arwah mungkin tergelincir lalu jatuh. Wallahualam.

Atikah tiada roommate, kerana itu ramai yang tidak perasan akan kehilangannya. Kolej di universiti bukanlah seperti sekolah asrama. Anak-anak ini sudah dewasa dan ada program sendiri. Tiada warden yang akan memastikan, jam 12 malam, semua pelajar harus berada di katil masing-masing. Anak-anak di universiti, sudah lain caranya. Tidak wajar salah menyalah.

Atikah, pelajar yang baik. Rajin ke surau dan ada kelapangan pergi belajar agama bersama teman-teman di universiti. Allah pelihara aurat Atikah hingga akhir hayat kerana ketika ditemui, arwah masih bertelekung.
Arwah mungkin ada masalah tersendiri yang tiada siapa mengetahui.  Tiada siapa tahu cerita sebenar. Beberapa hari sebelum meninggal, arwah ada bercakap di telefon dengan ibunya, memberitahu bahawa bertemu arwah ayah di dalam mimpi dan arwah ayah tersenyum padanya. Sesungguhnya setiap kejadian ada pengajaran yang Allah mahu kita ambil pedoman.
Peliharalah jari yang mengetuk keyboard atau telefon. Jangan sebarang kita memberi maklumbalas yang mungkin akan di’balikkan’ kepada kita. Nauzubillahiminazzalik.
Saya mohon maaf dari semua andai entri ini sedikit berbeza emosinya. :,(
Al Fatihah untuk Allahyarham Siti Najwa Atikah bt Azhar


Salam Hormat
Terima kasih kerana membaca entri ini



Monday 13 January 2014

SALAM MAULIDURRASUL dan Tahniah Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azam

Teks : Adillah Ismail

Alhamdulillah, selawat dan salam untuk Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w.
Terima kasih ya Rasulullah, atas perjuangan memartabatkan Islam hingga kami lahir sebagai mukmin dan mukminah pada hari ini. Nikmat yang tiada tandingannya. Terima kasih atas perjuangan mu ya Rasulullah memartabatkan ummat manusia, khususnya wanita sehingga berada pada kedudukan sekarang.

Selawat dan salam untuk Rasulullah.
"Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku"

 Ø§Ù„Ù„َّÙ‡ُÙ…َّ صَÙ„ِّ عَÙ„َÙ‰ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ
Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya
atau

اللَّÙ‡ُÙ…َّ صَÙ„ِّ عَÙ„َÙ‰ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ، ÙƒَÙ…َا صَÙ„َّÙŠْتَ عَÙ„َÙ‰ Ø¥ِبْرَاهِيمَ Ùˆَآلِ Ø¥ِبْرَاهِيمَ، Ø¥ِÙ†َّÙƒَ Ø­َÙ…ِيدٌ Ù…َجِيدٌ، ÙˆَبَارِÙƒْ عَÙ„َÙ‰ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ، ÙƒَÙ…َا بَارَÙƒْتَ عَÙ„َÙ‰ Ø¥ِبْرَاهِيمَ Ùˆَآلِ Ø¥ِبْرَاهِيمَ، Ø¥ِÙ†َّÙƒَ Ø­َÙ…ِيدٌ Ù…َجِيدٌ
Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad, kama sallayta `ala ibrahima wa’ali ibrahim, innaka hamidun majid, wabarik `ala muhammadin wa`ala ali muhammad, kama barakta `ala ibrahima wa’ali ibrahim, innaka hamidun majid

Ya Allah, berilah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Mulia. Dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Mulia.
.
.
.
.
Juga ucapan tahniah untuk Hj Ahmad Azzam Abd Rahman dan Pn Azlina atas penganugerahan Allahyarham Ahmad Ammar sebagai Tokoh Maulidurrasul 1435H. Semoga apa yang Ammar tinggalkan menjadi inspirasi untuk anak muda serta ummat Islam keseluruhannya. 
       Sesungguhnya ia adalah hadiah dan anugerah untuk Hj Ahmad Azzam dan Pn Azlina dari Allah swt.

Salam Hormat
Terima kasih kerana membaca entri ini






Wednesday 8 January 2014

KUCING MENGEKORINYA SEHINGGA KE...

Teks : Adillah Ismail

Pada satu  hari dalam perjalanan kami ke rumah keluarga angkat, kami bertembung dengan seorang lelaki tua yang sedang berjalan-jalan sambil membawa dua ekor kucing di tangan, sementara  beberapa ekor mengikutinya dari belakang sambil 'mengambil angin'. Oleh kerana jalan raya lurus, kelibat beliau kami dapat perhati dari jauh dari dalam kereta. Ketika berselisih, beliau sedang turun ke longkang sambil membawa seekor kucing. Sementara si comel yang lain, menunggu. Saya kira ada kucing yang terjatuh dan beliau sedang mengangkat kucing tersebut.

Tiba di rumah keluarga angkat, saya bertanyakan hal tersebut kepada Nek Wa dan pembantu beliau. Rupanya orang tua berkenaan adalah jiran belakang rumah mereka. Menurut kak Tina, rumahnya memang terlalu banyak kucing kerana beliau suka mengutip kucing-kucing jalanan. Di bawa pulang, di beri makan dan dipelihara.

Adakalanya, pada waktu pagi atau petang, beliau akan berjalan-jalan membawa ikan rebus untuk di berikan kepada kucing-kucing yang di jumpai di tepi jalan. Mulianya hati lelaki tua ini. Memberi bakti kepada kucing yang tidak pandai membalas jasa. Tetapi saya sangat yakin, lelaki yang mulia hati ini memberi tanpa mengharapkan balasan. Apalah ada pada seekor kucing,kan? Mungkin bagi kita, jika mahu berbakti, berbudi, haruslah kepada mereka-mereka yang boleh membalas atau menganugerahkan kita sesuatu. Jika tidak, mungkin kita berfikir beberapa kali untuk memberi dan berbudi kepada makhluk atau insan yang mungkin tidak mengenali kita.

Nek Wa menyambung cerita. Ketika mereka mengerjakan umrah di dalam satu kumpulan tidak berapa lama dahulu, orang tua ini terus melakukan rutin yang sama, di Makkah juga Madinah. Membeli makanan untuk kucing dan memberikan kucing makan apabila berjumpa di jalanan. Ada kucing yang mengekori beliau sehingga ke bilik hotel. Yang lebih menarik, setiapkali apabila beliau tiba di bilik setelah mengerjakan umrah atau dari masjid, ada sekumpulan kucing sudah menunggu beliau di pintu. Tidak mengekori beliau, namun tahu di mana biliknya. Subhanallah. Begitu kejadian Allah kepada makhluk yang lemah ini. Agaknya, saya fikir, kucing-kucing ini berkomunikasi sesama sendiri dan mengajak rakan-rakan yang lain ke bilik pak tua ini di hotel.

Amal ini mungkin sedikit, namun istiqamah untuk Pak Tua. Mana tahu, amalan yang sedikit ini tetapi istiqamah, akan melorongkan Pak Tua ke syurga Allah. Mana kita tahu, haiwan kecil inilah yang akan membantu Pak Tua di akhirat kelak. Kita manusia banyak berdosa dengan Allah, adakah ada bantuan yang telah kita persiapkan untuk kita terima di padang mahsyar nanti....

Kita bagaimana, teman-teman? Adakah kita ada amalan baik yang mudah tetapi istiqamah? Cuba kita bersama, cari-cari, lihat-lihat, peluang untuk buat amal baik, yang boleh istiqamah.

Akhir kalam, saya selitkan kisah Rasulullah dan kucing baginda dari pembacaan saya. Juga kisah Abu Hurairah yang terkenal dengan gelaran Bapa Kucing.

Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza. Setiap  Nabi akan menerima tamu di rumah, baginda selalu mengendong Mueeza dan diletakkan di atas pahanya. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi sukai ialah, Mueeza selalu mengeong ketika mendengar azan seolah-olah ngiaunya seperti mengikuti laungan azan. Nabi juga berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan layaknya menyayangi keluarga sendiri.

Suatu saat, dikala nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Tak ingin mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya. 

Diriwayatkan dan Ali bin Al-Hasan, dan Anas yang menceritakan bahawa Nabi Salallahu ‘alaihi wasallam pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah.Lalu, beliau berkata, “Ya Anas, tuangkan air wudhu untukku ke dalam bejana.”Lalu, Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Nabi menuju bejana.

Namun, seekor kucing datang dan menjilat bejana (bekas minum). Melihat itu, Nabi berhenti sampai kucing tersebut berhenti minum lalu berwudhu.

Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis.”
 
Kisah Abu Hurairah (Bapa Kucing)
Akrab dengan kemiskinan, beliau sering mengikatkan batu ke perutnya, bagi menahan lapar. Dalam sejarah beliau dikenal sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith. Dialah Bapa Kucing Kecil (Abu Hurairah), begitu orang mengenalnya. Kenapa beliau dikenal sebagai “Bapa Kucing”? Di waktu jahiliyah namanya dulu Abdu Syamsi ibn Shakhr Ad-Dausi, dan tatkala beliau memeluk Islam, beliau diberi nama oleh Rasul saw dengan Abdurrahman. beliau sangat penyayang kepada binatang dan mempunyai seekor kucing, yang selalu diberinya makan, digendongnya, dibersihkannya dan diberinya tempat. Kucing itu selalu menyertainya seolah-olah bayang bayangnya. Inilah sebabnya beliau digelar sebagai “Bapa Kucing”.
Penghafal Hadits Terbesar Sepanjang Masa
Shahabat mulia Abu Hurairah adalah seorang perawi agung yang paling banyak meriwayatkan hadith. dia mempunyai bakat yang luar biasa dalam kemampuan dan kekuatan ingatan. Abu Hurairah r.a. mempunyai kelebihan dalam seni menghafal apa yang didengarinya, ingatannya mempunyai keistimewaan dalam segi menghafal dan menyimpan. Didengarya, lalu terpatri dalam mindanya, hampir tidak pemah beliau melupakan satu kata atau satu huruf pun dari apa yang telah didengarnya, sekalipun usia bertambah dan masa saling berganti. Oleh karena itulah, beliau telah mewakafkan hidupnya untuk lebih banyak mendampingi Rasulullah saw sehingga termasuk antara sahabat yang terbanyak menerima dan menghafal Hadith, serta meriwayatkannya.

info : ahlimasjid.com

Terima kasih kerana membaca entri ini.

Monday 6 January 2014

Saya Tiada Siaran Televisyen Berbayar

Teks : Adillah Ismail

Rumah kami sudah menamatkan langganan siaran tv berbayar yang popular sejak beberapa tahun. Kini kami menonton percuma :).  Keputusan dibuat kerana tidak mahu membazir. Kadangkala keberatan untuk menerima panggilan promosi yang tidak berkesudahan. Bagi kami, dengan 4 saluran sedia ada sekarang, jadual untuk kami menonton tv hampir tidak ada. Kami cuma ada saluran TV1, TV2, TV3 dan TV Alhijrah. Dengan rancangan bermutu dari TV Al Hijrah, juga beberapa rancangan bermutu dari siaran yang lain kami rasa ia sudah cukup. Tidak mengapa jika siaran 'berbintik-bintik' sedikit, atau perlu mengawal antena yang kadangkala sedikit lari :).

Saya dan suami mula memotong siaran TV berbayar hampir 3 tahun yang lalu. Keputusan di buat kerana kami jarang menonton tv kerana bekerja dan jarang berada di rumah. Balik kerja, sibuk dengan rutin biasa dan seterusnya tidur dan begitulah hari-hari seterusnya. Setelah berbincang, kami fikir ia bukan keperluan. Hanya tuntutan perasaan. Kami juga dapati anak kami kurang berkomunikasi dan bermain-main lantaran leka menonton tv. Selepas satu, satu rancangan di tonton.

Alhamdulillah, setelah di rumah tiada lagi saluran tv berbayar, kami lebih tenang dan hidup lebih berkualiti kerana tdak perlu menonton rancangan tv yang tidak kententuan termasuk iklan eksploitasi (maafkan saya).

Tentu saya tidak up to date dengan perkembangan terkini dunia hiburan (contohnya), tapi saya amat senang dan bahagia juga tenang. Saya tidak perlu menghabiskan tenaga dan masa untuk fikiran saya memikirkan perkara tersebut. Siapa menang, siapa kalah, siapa terkeluar dan lain-lain.

Namun saya tidak menafikan bahawa saya perlu juga televisyen. Sekali sekala. Tetapi yakinlah, 4 siaran yang saya miliki ini menghidangkan banyak hidangan bermutu. Kami kena berusaha memilih dengan bijak. Untuk TV AlHijrah, kalau boleh saya katakan disini hampir 100% bermutu. Saya tiada apa-apa kepentingan dengan mereka tetapi hakikatnya, ia memang menghidangkan yang terbaik sahaja. Ia lengkap untuk keluarga, ada kartun, drama mahupun bual bicara yang santai atau serius. Saya tidak ada siaran selain 4 siaran ini kerana tidak berjaya mendapatkan siaran tersebut. Almaklumlah semua manual.

Anak-anak yang asyik menonton siaran tv terutama kartun yang berterusan akan membentuk karakter yang tidak sihat. Mereka kurang bergaul, kurang berkomunikasi walaupun di dalam rumah sendiri. dengan ibu ayah mahupun adik beradik. Bagi yang bersekolah, jika tidak di kawal maka lewatlah tidurnya. Itu pemerhatian saya. Saya yakin pengalaman setiap ibu berbeza. Tetapi saya berkeyakinan bahawa tanpa siaran tv yang pelbagai anak anda akan lebih kreatif dan ceria.

Saya menghormati pilihan teman-teman, tetapi insyaAllah tiada ruginya.Apa kata anda mencuba seperti saya :)? Demi anak-anak dan masa emas diri sendiri.
Pada mulanya dulu saya fikir, betulkah keputusan saya? Nanti bimbang tidak up to date, tapi yakinlah ia jauh lebih baik.

Salam hormat

Terima kasih kerana membaca entri ini.






Sunday 5 January 2014

Jenguk-jenguk PSIAKU AZWAR

 Mari bersama menjemput rezeki dengan membantu PSIAKU AZWAR. Bantulah semampu yang anda boleh. Jika boleh RM10, RM20 dan seterusnya, hulurkanlah. Manatahu dengan bantuan yang anda berikan itu, dapat mereka membeli susu anak-anak ini serta kemudahan-kemudahan lain. Dengan asbab bantuan ini juga mungkin Allah kurniakan teman-teman rezeki yang lebih lagi.

Teman-teman,
PSIAKU AZWAR adalah Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Azwar Kuala Lumpur dan Selangor. Ia adalah sebuah tempat atau Pusat perlindungan dan jagaan untuk anak kurang upaya kritikal terlantar (AKUKT). AKUKT ini adalah anak2 istimewa yang mempunyai pelbagai penyakit di mana hidup mereka hanya bergantung kepada orang lain untuk makan, minum, kebersihan dan keperluan diri sendiri.

Persatuan ini telah beroperasi selama beberapa tahun. Rumah atau pusat perlindungannya beroperasi di Taman Batu Muda, Batu Caves. Kepada sesiapa yang ada anak kurang upaya terlantar bolehlah menyertai persatuan ini, banyak aktiviti dan sokongan sesama ahli telah dilakukan untuk membantu meringankan beban ibu-ibu tersebut yang memerlukan sokongan dari segi kewangan, surat sokongan, tunjuk ajar, latihan dan bimbingan.

Terima kasih teman yang budiman.
Alamat rumah penjagaan:

No 14, Lorong Batu Muda 10
Taman Batu Muda, Batu Caves Selangor
 

Facebook : PSIAKUAZWAR

Salam Hormat



Terima kasih kerana membaca entri ini.






Thursday 2 January 2014

Masa Berlalu, Salam Tahun Baru, Kaki Melangkah Darjah 1

Teks : Adillah Ismail

Salam Tahun Baru yang berkat, 20-14. Syukur alhamdulillah. Sudah 14 tahun kita melepasi Y2K yang heboh diperkatakan dahulu. Kini ia berlalu pergi seperti air yang lalu. Terlalu pantas saya rasa. Ketika itu saya masih di UiTM. Semua kalut dan heboh kerana Y2K, sedangkan tiada apa-apa jua yang berlaku. Panik percuma.

Tahun ini anak sulung saya melangkah ke Darjah 1. Hari pertama, hadir ke sekolah di kala bumi di sirami hujan rahmat. Alhamdulillah. Jarak sekolah agak jauh dari rumah tetapi kami gembira, dia terpilih ke sekolah ini. Sekolah ini di sekelilingnya kawasan padi huma. Segar, nyaman dan tenang. Hijau. Jarak sekolah ini dari kampung dan perumahan juga agak jauh. Namun tidaklah terlalu jauh. Tetapi tidak sunyi. Sekelilingnya kawasan padi. Indah, teman.

Sayu rasa hati apabila perhimpunan pagi dimulai dengan surah lazim dan alunan nama-nama Allah. Ia menyegarkan lagi suasana pagi anak-anak. Beruntunglah mereka yang berkhidmat di sini, dari pengawal-pengawal, tukang kebun, pengusaha kantin, staf, guru-guru yang bertuah sehingga kepada Guru Besarnya. Setiap hari hati mereka di isi sebelum memulakan tugas. Beruntung anak-anak ini. Saya kira mana-mana sekolah boleh melakukannya walaupun ia bukan sekolah agama. Bukan sekadar lagu Negaraku kita alunkan.
Mudah-mudahan suasana ini melembutkan hati setiap insan. Menjadi penawar hati yang sakit, resah dan risau. Mudah-mudahan mereka dan kita menjadi golongan yang bersyukur. Bukan semua yang terpilih untuk berada dalam suasana yang di berkati Allah ini. Hingga hati teringin untuk menjadi guru di sini :).

Salam Tahun Baru teman-teman pembaca dan akademi. Semoga tahun baru ini menjadi tahun yang lebih baik untuk kita sebagai seorang muslim.

Salam Hormat





Copyright

Copyright